Hadi Awang, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding

Iklan
Takiyuddin Hassan

KUANTAN - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan bagi Muktamar ke-65 parti itu.

Hadi, 71, memegang jawatan Presiden Pas sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim, 58, memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, pencalonan kali ini juga menyaksikan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat dan Ketua Muslimat Pas Pusat serta Naib-Naib Presidennya menang tanpa bertanding.

Menurutnya, bagi jawatan Naib Presiden pula menyaksikan empat calon menawarkan diri bagi merebut tiga jawatan berkenaan.

Iklan

"Bagi jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad dengan seorang lagi calon ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Selain itu, seramai 29 calon layak bertanding bagi 18 jawatan dalam ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, mereka ini sudah melepas tapisan dibuat dan calon juga diberi masa hingga Rabu ini bagi membuat keputusan untuk meneruskan (pertandingan) atau menarik diri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang turut dihadiri Setiausaha Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu di sini hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, semua usul yang dibahaskan pada Muktamar kali ini akan dibentangkan untuk penilaian Pas Pusat pada Jumaat ini.

"Kita akan nilai dan perhalusi terlebih dahulu setiap usul yang ingin dibawa perwakilan. Mesyuarat khas pada 14 Jun ini di Ibu Pejabat Pas di ibu negara akan memutuskan (usul) mana akan diterima untuk dibahaskan sebelum perasmian Muktamar oleh Presiden kita pada pagi 21 Jun ini.

"Bagi Muktamar kali ini, Dewan Muslimat Pas akan bersidang pada 15 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang diikuti Dewan Pemuda pada 19 dan 20 Jun," katanya.

Menurutnya, hanya ahli jawatankuasa Pemuda dan Muslimat Pas yang diadakan pemilihan dan Dewan Pemuda Pas Pusat akan menerima ketua baharu selepas penyandang jawatan itu (Muhammad Khalil Abdul Hadi) tidak bertanding.

"Selain itu, Datuk Seri Abdul Hadi juga akan merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dijangka dihadiri kira-kira 300 ahli pada 21 Jun," katanya.

Beliau berkata, seramai 1,200 perwakilan mengambil bahagian pada Muktamar kali ini, selain pemerhati dari Kelab Penyokong Pas luar negara dan pemimpin UMNO.

"Kita menjemput beberapa pemimpin UMNO dan antara yang sudah menyatakan persetujuan untuk hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man," katanya.