Pemuda UMNO desak Latheefa buka semula kes profil tinggi pemimpin PH

Iklan
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menjalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih untuk mempercepat atau membuka semula kertas siasatan bagi tujuh kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang telah disenyapkan sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara kes tersebut adalah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti, kes rasuah dan salah guna kuasa di dalam projek Terowong Bawah Laut dan kes pembelian banglo yang mencurigakan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada Latheefa membuktikan kesungguhan dan mengotakan janji bagi membersihkan Malaysia daripada rasuah.

"Antara kes lain adalah berkaitan kejanggalan senarai keanggotaan parti dan dakwaan pembelian undi dalam pemilihan PKR yang lepas, kes rasuah dalam pembelian Merdeka Palace Kuching Sarawak oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Zahid Mat Arif ketika menjadi pegawai Khas Tan Sri Isa Samad (Pengerusi Felda ketika itu) dan kes penerimaan wang berjumlah RM800,000 daripada 12 kontraktor melibatkan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali.

Iklan

"Selain itu kes monopoli kontrak perolehan kementerian oleh anak kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Muhammadin Ketapi dan kes terbaharu yang didedahkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull dalam mesyuarat melibatkan menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian yang dipengerusikan Perdana Menteri berkenaan arahan seorang menteri Kabinet terhadap penerima kontrak kerajaan untuk menyalurkan dana kepada parti tertentu dengan ugutan untuk menarik balik kontrak jika gagal melakukannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sehingga hari ini, maklum balas yang diterima daripada SPRM berhubung kes-kes tersebut masih dalam siasatan atau tiada tindakan lanjut seolah-olah ia disenyapkan.

Iklan

"Bagi membuktikan kewibawaan dan integriti selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, kami mendesak supaya kes-kes itu dapat disegerakan tindakan serta didedahkan statusnya kepada rakyat," katanya.