JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan terapung di pantai berhampiran jeti bot Danga Bay, di sini, petang Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mayat mangsa berusia 26 tahun itu ditemui polis bantuan di kawasan berkenaan kira-kira jam 6.40 petang.
Iklan
Iklan
"Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan mati lemas. Ketika ditemui mayatnya juga tidak menunjukkan sebarang kesan cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahurinain berkata, polis juga berjaya menemui kenderaan dinaiki mangsa yang diletakkan berhampiran dengan lokasi kejadian.
Beliau berkata, proses mengesan waris mangsa juga sudah berjaya dilakukan di mana mereka turut dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Aminah untuk proses pengecaman.
"Buat masa ini polis masih lagi jalankan siasatan, kita akan ambil keterangan orang terdekat dengan mangsa untuk mengetahui kelakukan mangsa sebelum kejadian,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.