Tiga premis pusat hiburan dikenakan tindakan

Iklan
Narenasagaran menunjukkan rakaman video pergaduhan di Jalan Chulia yang tular.

GEORGETOWN - Polis memeriksa sembilan buah pusat hiburan dan mengambil tindakan ke atas tiga premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, selain pemeriksaan premis, polis turut memeriksa 62 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, 21 wanita warga tempatan dan dua wanita warga asing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana menggaji dan melindungi pekerja warga asing tanpa permit sah.

"Operasi ini dibuat susulan kejadian pergaduhan yang berlaku di Jalan Chulia. Siasatan awal mendapati, ia berlaku apabila ada sekumpulan pelancong asing yang bergaduh disebabkan isu pembayaran makanan.

Iklan

"Berlaku salah faham sehingga menyebabkan pergaduhan berlaku. Walaupun tiada laporan dibuat, namun video pergaduhan itu telah tular. Oleh itu, operasi pemeriksaan akan dibuat dari semasa ke semasa bermula semalam untuk pemantauan," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Chulia, malam semalam.

Iklan

Dalam rakaman berdurasi 40 saat itu, puluhan lelaki termasuk pelancong asing bergaduh dan membelasah antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Narenasagaran turut memberi amaran kepada semua pemilik pusat hiburan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan terutamanya waktu operasi.

"Saya akan pastikan semua pusat hiburan ditutup pada masa yang ditetapkan.

"Sekiranya ada pemilik premis yang ingkar, kita akan menahan mereka dan tindakan tegas akan diambil. Saya memberi amaran kepada semua pemilik pusat hiburan di negeri ini," katanya.