Kanak-kanak lemas di kunci air

Iklan
Muhammad Alif Zakwan bersama kakak dan adiknya sempat berswafoto pada Aidilfitri lalu.

MACHANG - Hasrat enam beranak untuk kembali ke ibu kota malam ini terpaksa ditangguhkan apabila anak ketiga keluarga itu lemas selepas terjatuh dalam kunci air di Kampung Takel Luar di sini, hari ini.

Menurut ibu mangsa, Wan Nor Azlina Wan Kamaruzzaman, 38, ketika kejadian dia keluar ke pasar bagi membeli barang-barang untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor.

Iklan
Iklan

Katanya, Muhammad Alif Zakwan Mohd Zakiman, 9 tahun keluar bersama kakaknya, Nur Alia Natasya, 15 serta dua sepupu lelaki ke kawasan kunci air sebelum terjatuh dan dibawa arus.

Tambahnya, sebaik sampai di rumah, dia dimaklumkan tentang kejadian tersebut sebelum bergegas ke tempat kejadian yang terletak berdekatan rumah keluarga mertuanya.

Iklan

"Suami dan keluarga serta penduduk kampung berusaha mencari Muhammad Alif Zakwan dan segera membawanya ke hospital selepas ditemui.

"Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan dia telah meninggal dunia. Tak sangka dia pergi dulu meninggalkan saya dan keluarga malah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia hanya meminta duit sebanyak RM2 sebelum saya keluar untuk membeli di kedai berdekatan rumah," katanya yang kehilangan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

Iklan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.33 petang sebelum enam anggota yang diketuai ketua operasi, Zulkifli Hamid bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di kawasan kunci air tersebut, pihaknya dimaklumkan penduduk bahawa mangsa telah diselamatkan oleh orang ramai dan dibawa ke Hospital Machang.

"Sebaik tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.