KLUANG – Hobi mengumpul setem sebagai koleksi bukan semudah yang disangka seperti mencari dan menyimpan malah banyak perkara yang perlu diambil kira terutamanya keadaan fizikal selain tahun setem tersebut dihasilkan.
Tambahan pula pada zaman sekarang yang menyaksikan ledakan teknologi maklumat yang menyaksikan surat-menyurat bukan lagi medium penghubung untuk bertanya khabar, mengumpul setem boleh dianggap sebagai satu hobi agak janggal.
Pengumpul setem juga selalunya tidak berkira dan sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan setem yang diingini sebagai koleksi mahupun untuk dijual semula kepada peminat lain.
Bagi pengumpul setem, Mad Esa Denan, 77, dia yang mula jatuh cinta dengan hobi tersebut sejak 54 tahun lalu mengakui banyak perkara yang menjadikan setem lama mahupun baharu bernilai tinggi.
Menurut pesara posmen itu lagi, minat mengumpul setem itu timbul sejak kecil lagi apabila dia sering membeli setem yang bernilai 10 sen dan dimasukkan ke dalam buku sebelum menghantarnya semula ke bank selepas setem berkenaan mencecah nilai RM10.
"Jadi selepas saya bekerja sebagai posmen, minat untuk mengumpul setem ini bertambah kuat kerana ketika itu kalau ada keluaran setem baharu atau keluaran khas, saya akan dapat tahu lebih awal.
"Ini bererti saya tidak akan pernah terlepas daripada membeli setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dan sehingga sekarang koleksi setem yang ada sudah mencecah hampir 8,000 keping,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Kluang baru-baru ini.
Mad Esa berkata, dia juga sudah menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak semata-mata untuk mengumpul setem keluaran khas seperti setem khas pemasyhuran sultan dan raja-raja di negara ini.
Katanya, antara koleksi setem yang cukup bermakna buatnya adalah setem Sultan Johor bermula dari Sultan Sir Abu Bakar Temenggong Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim sehingga Sultan Ibrahim Sultan Ismail.
"Bagaimanapun, koleksi setem milik Sultan Sir Abu Bakar telah hilang dari simpanan saya sejak beberapa tahun lalu dan itu merupakan kehilangan besar kerana bukan satu yang mudah untuk kumpulnya.
"Sekarang ini, kalau ada keluaran setem yang baharu, pakcik mesti akan pergi ke tempat asal setem tersebut dikeluarkan kerana mahu mendapatkan cop pejabat pos atau istana yang mengeluarkannya,” katanya.
Mad Esa berkata, semasa Pos Malaysia melancarkan siri setem edisi khas sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, dua tahun lalu, dia juga sanggup menetap di Kuala Lumpur selama seminggu bagi mendapatkan setem khas ini.
Menurutnya, dia juga pernah ditawarkan RM250,000 dari seorang pengumpul setem untuk membeli koleksi setemnya beberapa tahun lalu namun tidak menjualnya kerana koleksi setem berkenaan mempunyai nilai sentimental pada dirinya.
"Biasanya pengumpul setem hanya akan menjual sekeping atau dua sahaja setem mereka yang berada dalam simpanan itu pun yang mempunyai lebihan setem yang sama. Selebihnya akan dijaga dengan elok dan rapi.
"Bagi pengumpul setem, kita akan berusaha mencari setem-setem baharu atau lama yang tiada dalam simpanan manakala setem yang sedia ada tidak sesekali akan dilepaskan dengan mudah,” katanya.
Bercakap mengenai sokongan keluarga terhadap minatnya itu, Mad Esa berkata, isterinya, Azizah Khalid, 73, sentiasa memberikan sokongan moral terhadap minatnya itu malah sering mengingatkan sekiranya ada koleksi setem terbaharu yang bakal dikeluarkan Pos Malaysia.
Menurutnya, isterinya juga amat memahami hobinya itu dan sering kali memberikan sokongan dari segi moral dengan menggalakkannya untuk melengkapkan lagi koleksi setem yang disimpan.