JIKA semalam, Sinar Harian menyiarkan kisah di sebalik gelandangan di Kuala Lumpur menerusi penyamaran wartawan beberapa hari sebelum Syawal. Dalam penyamaran itu, wartawan turut menelusuri lorong-lorong gelap bagi melihat sendiri nasib wanita yang terpaksa mencari rezeki dengan ‘menjaja diri’. Ikuti pendedahan eksklusif bahagian kedua laporan LIZA HASAN, MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI dan RIDAUDDIN DAUD. Keadaan kesihatan gelandangan membimbangkan.
HANYA kami berdua di lorong sunyi bertemankan bau hanyir longkang tersumbat di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur pada malam 1 Syawal yang lalu.
Sesekali penulis merenung tepat wajah wanita berusia 40-an ini. Masih cantik berkebaya merah, putih gebu, potongan badannya 36-25-36, tingginya sekitar 5 kaki 7 inci barang kali. Baunya wangi seperti bedak nyonya Sam Fong.
"Kalau you tak datang malam ni pasti anak-anak saya tiada baju raya”, katanya sambil menghembuskan asap rokok keretek di celah bibir mungilnya. Penulis mengangguk. Suasana sepi tiada bicara.
Dia mengambil tiga pasang baju Melayu yang penulis berikan lalu naik ke tingkat atas sebuah bilik sewa.
Dia kembali semula sambil membawa dua gelas dan satu botol Martin tua. Dituangkan air itu ke gelas lalu dihulurkan kepada penulis. Bau air kencing syaitan itu amat tengit menusuk ke hidung.
"You tak minum?” tanya wanita itu.
"Dah berhenti,” bicara penulis sekadar menjaga hati.
Dia memulakan bicara dengan menghembuskan asap berkepul ke udara.
"Hanya ini yang boleh saya lakukan untuk menyara tiga anak hasil benih daripada jantan tak guna. Saya terpaksa dan tiada pilihan.
"Siang saya ambil upah cuci pinggan di kedai mamak dapatlah RM10 untuk 8 jam. Petang saya kutip tin. Mula jam 12.30 tengah malam, inilah pekerjaan saya. Dah lima tahun hidup saya macam ini,” katanya.
Penulis hanya senyum dan memusing-musing gelas berisi air kuning itu.
"Berapa ramai anak akak? Mana suami atau keluarga?” tanya penulis.
"Suami saya di pusat pemulihan sebab hisap dadah, keluarga buang saya, mertua juga tak dapat terima saya dan tak mengaku ada cucu."Dari Raub saya ke Kuala Lumpur bawa tiga anak, 8 tahun, 7 dan 6 tahun masa itu. Saya nak cari suami tapi tak sangka saya jumpa dia bawah jambatan tengah hisap dadah.
"Hancur hati saya. Saya bawa anak-anak tidur di kaki lima dan siangnya saya merayap cari kerja tapi tak dapat.
"Akhirnya saya terjumpa dengan seorang kawan yang sudi tumpangkan rumah dan lakukan pekerjaan ini," katanya.
Itulah kali pertama Kak Mala bercerita kisah peribadinya kepada penulis. Sejak berkenalan dengan wanita ini lebih dua tahun lalu, saya tidak pernah sekali bertanyakan hal peribadinya.
Cukup sekadar penulis dan rakan-rakan sukarelawan memberikan makanan kepada golongan gelandangan setiap malam Jumaat dan selepas itu kami berlalu.
Tetapi Syawal kali ini, penulis terpanggil untuk mengenali lebih dekat wanita ini. Ternyata dia sering tersenyum dalam tangis.
Menyambung perbualan penulis bertanyakan pengalaman Kak Mala sebagai kupu-kupu malam.
Katanya, sudah pasti ramai yang membenci dirinya tetapi tak kurang juga yang melutut menagih cintanya namun ada juga yang menyeksa dirinya. Demi sesuap nasi untuk anak-anak, dia sanggup bertaruh jiwa dan raga.
"Akak tak takut dosa atau nak berhenti buat kerja ini?”, lagi penulis bertanya memecah kebuntuan.
"Dosa? Suci sangat ke you yang tanya tentang dosa?”, katanya membuatkan penulis terdiam seketika.
"You wartawan, pasti you percaya Tuhan. Tuhan amat sayangkan umat-Nya dan saya tahu Tuhan juga sayangkan saya,” jawabnya.
Bagi mengelakkan perbualan kami tegang, penulis hanya tersenyum dan mengalihkan cerita tentang momen-momen indah sepanjang melakukan kerja-kerja amal itu. Mengimbau saat pertama kami berkenalan.
Indah! Penuh tawa dan seloka. Seindah umat Islam yang sedang bergembira meraikan kehadiran Syawal.
Sejam kemudian, berlari-lari tiga anaknya ke arah kami. Mereka menghulurkan sejumlah duit yang boleh saya anggarkan kira-kira RM40.
"Ibu ni duit yang kami dapat. Kami ketuk cermin kereta orang kat traffic light. Ada pak cik kaya bagi RM5 yang lain bagi RM1,” kata si abang.
"Abang, salam auntie ni. Cium tangan dia, mana tau dia bawa rezeki lagi kat kita,” Kak Mala mengarahkan anak-anaknya bersalaman dengan penulis sebelum berlalu pergi.
Penulis hulurkan salam dan berikan high five tanda kemesraan. Okey, penulis sudah tahu cerita sebenarnya. Budak-budak ini jugalah pernah mengetuk cermin kereta penulis dan minta duit.
Penulis juga tahu mereka tidak bersekolah. Siangnya mereka tidur dan sebelah malamnya mereka akan menghampiri kereta-kereta di tepi jalan lalu meminta duit.
Tak ubah seperti kanak-kanak pelarian.Jam menunjukkan jam 4 pagi dan penulis minta izin pulang. Perbualan kami sepanjang subuh itu menyekat ‘rezeki’ Kak Mala untuk menjaja diri.
Sebelum pulang penulis hulurkan RM200 hasil kutipan wang daripada rakan di Facebook dan kenalan yang lain.
"Alhamdulillah, dapat akak beli kuih raya, beli rendang dan nasi impit segera,” katanya.
Kami berpelukan dan ada linangan air mata yang hadir antara kami. Penulis tidak pernah sesekali berasa jijik untuk memeluk dan berlaga pipi dengan wanita bergelar pelacur ini.
Amanah penulis sudah tunaikan. Pekerjaan Kak Mala sudah pasti kotor tetapi siapa kita yang layak menghakimi dirinya kerana tiada siapa yang tahu mengakhiri kehidupan seseorang.
Buat Kak Mala, jangan berhenti mengejar matahari kerana sinarnya tidak pernah padam dan setiap ujian yang dilalui pasti dijanjikan kebahagian kerana ALLAH itu Maha Adil, Maha Penyayang.
Inilah catatan penulis pada malam 1 Syawal 1440.
Misi sukarelawan menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur turut disertai pakar perubatan keluarga, Dr Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul Malek.
Beliau membantu golongan gelandangan dari segi memberi bantuan perubatan.
"Saya bertanggungjawab merawat penyakit dihidapi gelandangan. Pada bulan Ramadan, kita anjurkan program ini setiap minggu.
"Kebanyakan pesakit yang kita jumpa mengalami kecederaan di bahagian kaki.
"Ada juga kaki kena potong sebab kencing manis tetapi luka mereka tidak dicuci dengan baik dan ada jangkitan, jadi kami bantu bersihkan luka mereka dan beri antibiotik serta balut," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ramai juga gelandangan yang menghidap penyakit kulit dan diberikan ubat.
"Keadaan kesihatan gelandangan boleh dikatakan membimbangkan kerana ada yang mempunyai kecederaan teruk dan ada juga meninggal dunia disebabkan jangkitan tersebut.
"Ada juga yang pergi mendapatkan rawatan tetapi masih ada juga yang enggan berbuat demikian, jadi kami nasihatkan mereka tetapi kebanyakannya tetap berdegil," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rahsia di sebalik gelandangan