HARI ini masuk hari keempat kisah penderitaan anggota komuniti orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang berdepan dengan penyakit berkaitan jangkitan saluran pernafasan didedahkan oleh akhbar Sinar Harian.
Pendedahan tersebut begitu mengejutkan. Terdapat lebih 80 kes telah dikesan dengan 13 kematian orang asli suku Bateq setakat ini.
Laporan itu akhirnya menyedarkan pelbagai pihak tentang kroniknya insiden kesihatan di kawasan perkampungan orang asli berkenaan.
Barulah pak menteri, tuan pengarah dan encik-encik ketua jabatan kalut turun padang dan memberi perhatian kepada masalah orang asli Bateq itu.
Sebenarnya orang asli suku Bateq di kampung tersebut sudah lebih sebulan bertarung dengan penyakit serius itu yang didakwa berpunca daripada pencemaran air sungai. Bermula 2 Mei lalu, seorang demi seorang penduduk orang asli suku Bateq itu ‘terkorban’ akibat masalah pernafasan.
Mengapa masalah ini dibiarkan berlarutan begitu lama? Tidak adakah sistem pelaporan kesihatan yang sistematik untuk komuniti yang hidup terpencil itu?
Mungkin kita mahu meletakkan kesalahan penyakit itu ke atas orang asli sendiri yang hidup dengan cara tradisi tetapi suatu bentuk kawalan dan pelaporan yang sistematik seharusnya diperkenalkan untuk orang asli itu.
Kemelut yang berlaku membuktikan nasib dan isu orang asli memang perlukan keprihatinan pihak berkuasa.
Jika kes melibatkan kematian dalam angka yang ramai seperti di Gua Musang itu tidak diambil serius oleh pihak berkenaan, apakah kesudahan nasib isu-isu orang asli yang lain?
Penerokaan hutan tanpa kawalan, pencemaran sumber air, masalah tanah adat dan pelbagai lagi isu yang sering diperjuangkan oleh komuniti orang asli mungkin akan terus tenggelam.
Jangan nafikan hak orang asli kerana mereka juga adalah warganegara Malaysia dan diiktiraf sebagai orang asal di negara ini.
Sudah tiba masanya kerajaan memberikan pembelaan sewajarnya kepada komuniti orang asli di seluruh negara. Orang asli tidak menuntut pembangunan bertaraf metropolitan, tetapi cukup cuma secebis perhatian serius daripada pihak berkuasa.