KUALA PILAH - Peluang mengayuh basikal sehingga di negara seberang sememangnya satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh 30 peserta dari Gabungan Basikal Tua Malaysia (GBTM) sempena The Biggest International Event Ngontel Bumi Jenggolo 2, Surabaya, Indonesia.
Mereka mengayuh basikal tua bersama 12,000 peserta di tengah Kota Delta, Sidoarjo, Surabaya yang bertemakan ‘Satu Sepeda Sejuta Saudara’.
Menceritakan kembali pengalaman itu, Ketua Projek GBTM, Ikhwanizam Ibrahim, 43, berkata, mereka menyertai acara itu pada Februari lalu sempena menyambut Hari Ulang Tahun Sidoarjo Ke-160 serta Hari Ulang Tahun Komunitas Sepeda Tua Indonesia (Kosti) Ke-11 yang turut membabitkan peserta luar negara termasuk Malaysia dan Thailand.
"Kedatangan kami juga atas undangan Kosti sejak tahun lalu yang mana undangan rasmi kami terima ketika GBTM berkayuh di Bali sempena International Veteran Cycle Association 2018 (IVCA 2018) sekitar April tahun lalu.
"Kami akui pengalaman ini tidak akan dilupakan dan menariknya semua peserta GBTM mengenakan pakaian tradisional masyarakat Jawa iaitu lurik yang bermaksud jalur ketika berkayuh menggunakan basikal klasik,” katanya.
Katanya, kayuhan tersebut melibatkan perjalanan sejauh 22 kilometer bermula dan berakhir di Gelanggang Olah Raga (GOR) Delta Sidoarjo."Kami difahamkan bahawa Lembaga Prestasi Indonesia Dunia (LEPRID) mengumumkan kayuhan dengan berbusana lurik seramai 12,000 peserta ini merupakan rekod baharu berbanding sebelumnya 8,000 sahaja ketika kayuhan di Semarang," katanya.
Sementara itu, seorang peserta GBTM, Bahri Ansary, 63, dari Kelab Basikal Klasik Kinta berkata, acara kali ini amat mencabar kerana peserta terpaksa menempuh jarak kayuhan sejauh 22 kilometer.
"Walau mengenakan busana tradisional lurik yang tebal dan agak panas namun ia sesuatu yang amat menyeronokkan.
"Kesemua peserta kelihatan sama dan sukar untuk membezakan yang mana satukah orang Malaysia dan Indonesia. Inilah kebersamaan yang kita inginkan tanpa mengira fahaman dan kaum,” katanya.
Bagi Saripah Kadaya, 50, dari Kelab Basikal Klasik Kota Tinggi (KBKKT), pengalaman berkayuh di Sidoarjo sesuatu yang menyeronokkan."Ini satu kelainan yang dilakukan pihak penganjur kerana kita terpaksa berkayuh di dalam situasi sebenar.
"Melalui kesesakan jalan raya Sidoarjo mengajar peserta erti kesabaran di mana kami terpaksa turun dan menolak basikal.
"Pengalaman melalui kampung tradisional yang berlatar belakang sawah padi adalah sesuatu yang mengasyikkan dengan pemandangan yang indah."Ini mendedahkan peserta dengan situasi sebenar kehidupan di Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan (KBTN9), Amran Yahya, 50, berkata, ini merupakan kali keenam kelab dari Negeri Sembilan itu berkunjung ke Indonesia.
"Sebelum ini kami (KBTN9) pernah menghantar wakil berkayuh di Bandung, Bogor, Jakarta, Jogjakarta, Bali dan terbaru di Surabaya.
"Kosti juga pernah hadir ketika mengikuti kayuhan di Klasik D’Josseh – Lonek pada 14 Mei 2017 yang dianjurkan oleh KBTN9,” katanya.