Pentingnya Kertas Putih Pertahanan

Iklan
Temubual Eksklusif Sinar Harian bersama Ahmad Ghazali di Bangunan Persatuan Patriot Kebangsaan USJ.

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu pada 10 Januari lalu menyatakan kementerian itu dijangka akan membentangkan kertas putih yang menggariskan pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sidang Parlimen, September ini.

Katanya, dokumen tersebut dirangka dengan mengambil kira aspek jangka pendek dan panjang dasar pertahan negara, sekali gus memberi kefahaman secara menyeluruh kepada rakyat negara ini. Dengan menyatakan akan memberi penekanan terhadap kepentingan negara, Mohamad berkata, Malaysia akan menjadikan aspek pertahanan luar negara seperti Australia, New Zealand dan Jepun sebagai contoh bagi memantapkan lagi sistem ketenteraan.

Iklan
Iklan

Bagi mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai Kertas Putih Pertahanan, Wartawan MOHD HAFIZ ISMAIL dan jurufoto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM menemubual Ahli Jawatankuasa Patriot Kebangsaan (Patriot), Leftenan Kolonel (B) Ahmad Ghazali Abu Hassan.

Adakah Malaysia pernah mempunyai Kertas Putih Pertahanan?

Iklan

GHAZALI: Berdasarkan pengalaman, ATM sejak merdeka kita tidak ada satu kertas berkaitan dasar pertahanan negara yang spesifik. Kebanyakan dasar pertahanan adalah dibuat mengikut keperluan. Kita kena ingat bila mencapai kemerdekaan daripada British, fokus utama keselamatan kita adalah menangani ancaman pengganas komunis dan tugas ATM adalah membantu polis dalam memerangi mereka. Ini peranan kita ketika mula merdeka sehingga darurat pertama, kedua dan sehingga 1989. Pada amnya kita adalah angkatan tentera yang boleh dikatakan pakar dalam menangani pengganas (counter insurgency).

Namun begitu, sebagai sebuah angkatan tentera, ia sebenarnya adalah salah satu daripada tanggungjawab. Tanggungjawab angkatan tentera adalah mempertahankan negara dan mempertahankan kepentingan daripada ancaman luar. Ini satu perkara yang kita tidak dapat fokus selama ini kerana kita begitu sibuk dengan tugas menangani ancaman komunis.

Iklan

Berdasarkan sejarah, Malaysia memang cuba untuk mengubah struktur angkatan tentera sebagai satu struktur yang berkemampuan menjalankan peperangan konvensional iaitu selepas 1975. Pada tahun tersebut, apabila Amerika Syarikat kalah di Vietnam, teori domino pada masa itu memang popular. Menerusi teori tersebut, ia mengatakan selepas Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand dan Malaysia akan jatuh ke tangan komunis. Berdasarkan teori tersebut, kebanyakan negara Asia Tenggara perlu bersedia mengubah struktur ATM daripada sebuah angkatan tentera yang fokus kepada peperangan menangani pengganas kepada peperangan konvensional.

Maksudnya, dalam kemampuan menentang pengganas ini, kita lebih fokus kepada infantri dan tidak memerlukan senjata moden kerana peperangan dalam hutan. Tetapi, selepas peperangan 1975 kita mula memikirkan untuk mengubah struktur seperti perlu banyak kapal untuk tentera laut, pesawat untuk tentera udara dan senjata untuk peperangan konvensional seperti meriam lebih besar serta kereta kebal lebih canggih.

Adakah ada usaha untuk mewujudkan Kertas Putih Pertahanan?

GHAZALI: Selepas 1975, kita cuba ke arah itu tetapi kita dapati Vietnam bukan menjadi ancaman dan masih terus perlu tangani ancaman komunis sehingga 1989. Jadi, proses untuk mengubahsuai struktur ATM tidak ada dan masih begitu. Kita masih fokus kepada menjalankan tugas menangani pengganas.

Selepas tamat Perang Dingin, komunis menyerah kalah, barulah kita memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan sekarang. Kita tidak ada komunis untuk kejar dalam hutan dan tugas tentera sekarang adalah kepada konvensional. Pada masa itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampak satu peluang Malaysia menaikkan profil. Jika masih ingat ketika itulah, Malaysia banyak hantar tentera pengaman ke Bosnia dan Somalia. Pada masa itu jugalah profil kita naik. Tapi itu untuk tujuan jaga keamanan dan ia bukan merupakan tugas hakiki sebenarnya. Kemudian proses menukar tentera kita kepada tentera konvensional masih tidak berjalan dengan begitu efektif kerana kita tidak ada perancangan.

Perkara dan elemen penting yang perlu ada dalam kertas putih?

GHAZALI: Pertama sekali dalam kerta putih itu kita perlu kaji keadaan semasa. Apa yang penting adalah kertas putih adalah dasar pertahanan dan ketenteraan negara. Dalam hal ini, tentera adalah sebahagian daripada polisi instrumen sesebuah negara. Penggunaan tentera negara perlu dibicangkan dengan agensi lain bagi menentukan ATM dalam membantu memastikan keselamatan dalam negeri. Kementerian Pertahanan perlu bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Wisma Putra secara rapat kerana terdapat banyak isu berkaitan dengan hubungan luar. Kalau kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan bercanggah dengan Wisma Putra, bukankah ia sesuatu yang tidak bagus.

Adakah kertas putih akan menceritakan tentang ketenteraan negara kepada umum?

GHAZALI: Sebenarnya mana-mana negara yang laksanakan kerta putih, sebenarnya ia ada dua versi. Pertama untuk dimaklumkan kepada seluruh rakyat negara kerana mereka ada hak mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan. Versi kedua, adalah versi sulit yang menceritakan tentang kelemahan ketenteraan negara. Jika kita lihat Kertas Putih Pertahanan Australia, pada 1986 yang ditulis oleh Paul Dibb. Kertas putih yang dihebahkan kepada rakyat Australia dan dia datang ke semua negara untuk bentangkan bagi mendapatkan pandangan negara-negara jiran. Jadi dalam soal kertas putih negara, kita boleh buat begitu juga. Ada perkara yang kita simpan untuk perancangan.

Pihak manakah yang sepatutnya terlibat dalam merangka Kertas Putih Pertahanan?

GHAZALI: Ini adalah perkara penting, sebagai contoh di Australia atau kebanyakan negara lain kertas putih adalah kertas dasar. Penglibatan mereka yang merangka kertas tersebut adalah ahli akademik dan orang ramai. Mengapa Australia tidak mahu ambil tentera mereka untuk buat. Sebab mereka mahu wujudkan perbezaan antara pembuat dengan pelaksana dasar.

Perbezaan ketenteraan negara kita dengan negara yang melaksana kertas putih?

GHAZALI: Kalau ikutkan memang betul-betul jauh bezanya. Kalau kita lihat di Australia, saiz tentera mereka lebih kurang kita. Tetapi dari segi peralatan memang hebat. Apa yang membezakan kita dengan mereka adalah keberkesanan iaitu bagaimana kita buat kerja. Negara kita buat ikut keperluan tetapi mereka buat ikut perancangan. Ramai melihat kalau beli banyak aset daripada pelbagai negara ia dilihat sebagai satu yang hebat. Sebenarnya tidak ia tidak betul. Perancangan itu penting supaya kita ada hala tuju. Kalau nak buat rumah, mesti ada pelannya sama juga dengan kertas putih ini.

Peranan yang perlu diambil kerajaan untuk memastikan keberkesanan dalam usaha ini?

GHAZALI: Apa yang penting adalah semua kementerian dan agensi berkaitan perlu faham kerana tugas pertahanan bukan hanya terletak kepada Kementerian Pertahanan serta tentera semata-mata tetapi rakyat juga. Saya harap kertas putih ini dapat menghasilkan satu pelan rangka tindakan secara spesifik berkaitan hala tuju ketenteraan dan perancangan perolehan aset bagi ATM.