Kerajaan dicadang agar tubuh Majlis Ekonomi Wanita

Iklan
Datuk Dr. Noraini Ahmad
KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan agar menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita bagi merangka hala tuju dan agenda ekonomi golongan tersebut di peringkat kebangsaan.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini kerana Belanjawan 2019 tidak langsung menyentuh agenda pemerkasaan wanita walaupun dalam manifesto PH pada PRU14 menekankan perkara tersebut.

"Saya berasa kecewa berikutan tidak ada langsung agenda pemerkasaan wanita dinyatakan secara holistik dan komprehensif dalam Belanjawan 2019 meskipun manifesto PH sendiri pada pilihan raya lepas menekankan tentang pengwujudan sistem ekonomi negara peduli wanita.

"Kerajaan PH juga harus memastikan agenda politik, ekonomi dan sosial milik Melayu dan Bumiputera khususnya akan terus dibela dan dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menyatakan secara jelas kerangka ekonomi yang telah disusun untuk mempertahankan keadilan ekonomi buat orang Melayu dan Bumiputera.

"Kita juga menuntut agar resolusi-resolusi yang telah digubal semasa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara akan dapat dijayakan demi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Tambah beliau, kedudukan negara di tangga ke-35 daripada 156 negara lain dalam laporan World Happiness Index 2018 pada Mac lalu tidak akan tercapai sekiranya dasar-dasar yang diamalkan kerajaan BN sebelum ini tidak efektif.

"Ingin saya tegaskan, laporan ini tentunya tidak akan memihak kepada Malaysia sekiranya dasar-dasar yang diamalkan kerajaan BN pada masa itu tempang atau tidak efektif.

”Belanjawan 2019 yang boleh dikatakan sebagai Belanjawan Elitis ini juga dilihat sebagai membayar kembali budi sokongan padu 50.1 peratus pengundi PH semasa menghadapi PRU14 tempoh hari dan seakan menghukum rakyat yang masih bersama BN terutama di luar bandar,” ujarnya.