SHAH ALAM - Harga barangan mentah yang dijual terkawal sepanjang musim perayaan dan kurangnya rungutan dalam kalangan pengguna bukti kejayaan setiap kementerian di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, langkah menyenarai 27 barangan mentah dan memanjangkan tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dari 15 hari ke 30 hari menunjukkan hasil positif.
Menurutnya, Pemuda Amanah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi NACCOL, serta pasukan kementerian yang diterajui Datuk Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Saifuddin Nasution.
"Pemuda Amanah percaya bahawa selepas setahun mengambil alih pentadbiran negara, kesemua kementerian dan negeri-negeri bawah Pakatan Harapan (PH) telah menemui rentak dan formula terbaik untuk melakukan islah menyeluruh yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat.
"Rakyat sebagai pemegang taruh terbesar kepada kerajaan hari ini berhak untuk menerima semula hasil tuaian, setelah perubahan besar setahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menggesa semua kepimpinan semua peringkat khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar sentiasa fokus kepada kebajikan serta keperluan rakyat.
"Mereka perlu sentiasa fokus terhadap isu-isu yang terkait langsung kepada kebajikan dan keperluan rakyat, khususnya orang muda supaya mereka benar-benar merasai perubahan yang sedang dan telah pun digerakkan oleh kerajaan ketika ini.
"Kita percaya bahawa menghilangkan kelaparan dan keresahan hidup rakyat itu wajib dan perlu menjadi keutamaan bagi mencapai maksud sebenar sebuah Malaysia Baharu yang diidamkan semua orang,” katanya.