Kemenangan mutlak penting untuk tingkat ranking dunia: Cheng Hoe

Iklan
Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe (kiri) pada sidang media Pra Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama

KETUA Jurulatih bola sepak negara, Tan Cheng Hoe menyifatkan bahawa kemenangan mutlak ke atas Timor Leste pada esok, penting untuk meningkatkan ranking dunia dan keyakinan pemain skuad Harimau Malaya, yang berada di tempat ke-168.

Pengendali berusia 51 tahun itu, dilihat tidak mahu berpuas hati dengan kemenangan 7-1 pada Jumaat lalu dalam aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi bagaikan mahu meningkatkan jurang kemenangan pada aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Iklan
Iklan

"Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif esok. Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini hari ini.

Bekas jurulatih Kedah itu juga, masih berahsia mengenai barisan pemain yang bakal diturunkan, apabila berkata belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan kesebelasan utama seperti aksi pertama atau memberi peluang kepada pemain lain.

Iklan

"Selaku jurulatih, saya mahu pemain-pemain memberikan tumpuan dan semangat yang sama, turun ke padang dengan keyakinan yang sama, penumpuan sepenuhnya dan bermain dengan cara yang sama dalam perlawanan pertama. Kesemua pemain bersemangat dan dahagakan untuk bermain dan menyarung jersi Harimau Malaya, jadi saya perlu mencari kesebelasan terbaik esok, saya tidak mahu pemain merasa gentar dan tertekan esok," katanya.

Beliau turut memuji aksi pemain prolifik negara, Safawi Rasid yang menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi bersama pasukan kebangsaan, walaupun baru berumur 22 tahun.

Iklan

Cheng Hoe berkata pemain bahagian serangan dan sayap itu, sentiasa bekerja keras, komited dan merendah diri untuk meningkatkan corak permainannya, serta mempunyai potensi yang besar pada masa akan datang.

Mengenai kecederaan, Cheng Hoe yang kehilangan Muhammad Syafiq Ahmad kerana kecederaan ligamen cagaran medial (MCL) pada aksi pertama, yakin pemain pertahanan, Dominic Tan dan pemain tengah, Syazwan Zainon yang mengalami kecederaan ringan, mampu beraksi pada esok.

Sementara itu, tonggak pertahanan negara, Matthew Davies mengakui bahawa kumpulan pemain yang dimiliki oleh Harimau Malaya pada masa ini, merupakan antara yang terbaik yang pernah dimiliki oleh negara.

"Berada di dalam pasukan kebangsaan selama empat kelima tahun dan menjadi sebahagian daripada kumpulan dalam kelayakan Piala Dunia lepas, saya fikir ini adalah pasukan terbaik yang kita ada. Ia sangat baik, di bahagian tengah kami mempunyai banyak pemain muda, baik untuk masa hadapan dan penting untuk pembangunan pasukan.

Untuk perlawanan selanjutnya, kami santai dan positif tetapi pada masa yang sama kami masih lagi dahagakan keputusan yang baik,” kata pemain berusia 24 tahun itu.- Bernama