Misi murni RMC

Iklan
Kerjasama yang ditunjukkan ahli RMC bagi melancarkan Program Jelajah Ramadan.

Kelab permotoran yang cenderung mendekati masyarakat melalui aktiviti amal

KELAB Permotoran Rearpear Moto Club Malaysia (RMC) nampaknya sedikit berbeza dengan kelab-kelab lain.

Jika ramai yang memilih untuk berkonvoi demi menuju destinasi menarik atau singgah ke mana lokasi yang menawarkan sajian waima pada radius yang jauh, namun nampaknya RMC tidak sebegitu.

Iklan
Iklan

Kelab itu tidak memfokuskan sangat aktiviti-aktiviti bersifat santai semata-mata lantaran mereka lebih cenderung mahu merapatkan ukhuwah bersama masyarakat. Dengan erti kata lain, RMC bersedia pada bila-bila masa untuk mempelbanyakkan program bakti dan mendekati golongan yang memerlukan.

Konvoi bergerak menuju destinasi yang dirancang.

Membuktikan kata-kata RMC bukan omongan, baru-baru ini ahli kelab itu menyertai Program Jelajah Ramadan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Selangor FM. Berdasarkan rekod, program berkenaan yang bertemakan Sucinya Ramadan telah bermula sejak tahun 2012 dan diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai program tanggungjawab sosial korporat terpanjang di Malaysia meliputi pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.

Iklan

Kepada Sinar Turbo, pengasas RMC, Azahar Ngah berkata, menerusi jelajah itu kesemua peserta terlibat membantu mengagihkan barang keperluan harian termasuk makanan. Menariknya lagi, mereka berganding bahu menyediakan juadah berbuka puasa kepada penduduk di kawasan terpilih.

Azahar Ngah

"Sebanyak 18 buah motosikal berkuasa besar bersama 40 peserta menyertai konvoi itu, kami bergerak ke tiga lokasi terpilih iaitu Kapar, Klang, Puchong dan Bangi, Selangor."Ahli RMC juga berpeluang menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada asnaf di Masjid At Taqwa, Kampung Bukit Kapar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Iklan

Sebagai tambah nilai, majlis disemarakkan lagi dengan aktiviti membakar lemang, memasak dodol, rendang dan ketupat oleh warga RTM selain penyerahan mangkuk tingkat yang menjadi konsep program itu sejak dulu lagi. ManfaatUjar Azahar, banyak manfaat yang diperoleh dengan menyertai program sedemikian rupa.

Puasa tidak menghalang ahli untuk membantu golongan yang memerlukan.

Masakan tidak, kesemua ahli RMC dapat menyelami kesusahan dan jerit-perih golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin demi survival kehidupan.

"Ia merupakan kenangan paling bermakna terutama kepada kami."RMC sebuah kelab permotoran yang aktif. Jadi, kekuatan itu dimanfaatkan dengan aktiviti kemasyarakatan. Kami enggan orang luar melihat permotoran sebagai hobi yang tidak berfaedah," katanya yang mengharapkan penganjuran program berkonsepkan turun padang seperti Jelajah Ramadan dapat wajar diteruskan pada masa akan datang.

Peserta konvoi sempat merakam swafoto ketika dalam perjalanan ke Bangi.

Dalam pada itu, Azahar berkata, pihaknya menyaran dan menggalakkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan dapat memperbanyakkan kerjasama dengan kelab permotoran di Malaysia.

"Di negara ini, ada banyak kelab permotoran yang berdaftar dan mempunyai struktur pentadbiran yang sistematik. Justeru, mereka secara tidak langsung dapat bergerak secara tersusun untuk melaksanakan pelbagai program."Dengan adanya banyak aktiviti, ahli kelab akan lebih komited melakukan pelbagai aktiviti termasuk kerja-kerja amal. Kita tidak mahu ahli hanya sekadar mendaftar nama sahaja,” kata beliau.

Logo RMC

Reappear Motorcycle Club (RMC)

Kelab yang bertapak di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor merupakan sebuah kelab motosikal yang ditubuhkan dalam usaha mengumpul bikers dari seluruh tanah air dan juga bikers luar negara. Kelab yang mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bergiat aktif dalam membantu pihak kerajaan mempromosikan sukan permotoran di dalam dan luar negara. RMC hanya bertumpu pada jentera berkategori choppers berkuasa 600cc dan ke atas dari pelbagai jenis dan model.