PERSATUAN Pengimport dan Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) baru-baru ini menjelajah ke pusat beli-belah Mydin dan beberapa pasar raya lain di seluruh Malaysia bagi memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
Antaranya ialah di Mydin Kubang Kerian dan Kota Bharu, Kelantan; Mydin Semenyih dan Mydin Subang Jaya, Selangor termasuk beberapa lokasi di Sitiawan, Perak dan di Yayasan Pekema Sarawak.
Menurut Presiden Pekema Riders Club, Datuk SM Zulkifli SM Amin, program yang dinamakan Ihya Ramadan dan Shopping Raya Yayasan Pekema itu sesungguhnya telah memberi keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Secara keseluruhannya pada tahun ini, lebih 1,000 anak-anak miskin dan yatim mendapat bantuan persiapan raya seperti baju, sampin, songkok dan tudung serta beberapa keperluan lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut SM Zul, program tersebut telah mula dianjurkan pada tahun 2016 dan tradisi itu diteruskan dari tahun ke tahun.
Berdasarkan statistik, sepanjang empat tahun penganjuran aktiviti kemasyarakatan tersebut, seramai 4,217 penerima telah memperoleh bantuan.
"Semoga pada tahun-tahun akan datang, Yayasan Pekema akan terus memainkan peranannya sebagai sebuah pertubuhan yang prihatin dengan masalah dan keadaan masyarakat.
"Terima kasih juga kepada semua ahli Pekema, semoga pihak yayasan dapat meneruskan program aktiviti-aktiviti kebajikan dari semasa ke semasa," kata SM Zulkifli.