JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap pimpinan Bersatu negeri sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Kunjungan parti politik itu diketuai Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.
Hadir sama, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Ketua Armada Johor, Norul Haszarul Abu Samah.
Menerusi pautan yang disiarkan menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu sebentar tadi, kesemua tetamu berkenaan turut diraikan dalam satu majlis santapan minum petang bersama Baginda Sultan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Sahruddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Ibrahim kerana berkenaan menerima kunjungan pimpinan partinya pada hari ini.
"Sesungguhnya, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Baginda Sultan kerana mengadakan perjumpaan Hari Raya Aidilfitri ini.
"Semoga perjumpaan ini dapat mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dalam keberkatan bulan Syawal yang mulia,” katanya.
Terdahulu, Sultan Johor turut menerima kunjungan daripada UMNO Johor yang telah menghantar permohonan untuk bertemu Baginda sempena Aidilfitri tahun ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menerusi permohonan itu, Baginda Sultan kemudiannya telah berkenan untuk menerima menghadap UMNO Negeri Johor.
"Dalam satu kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ada memaklumkan bahawa kunjungan pelbagai pihak sempena sambutan Aidilfitri dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.
"Sesungguhnya Baginda amat menitikberatkan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau kaum. Justeru, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) ataupun parti politik bolehlah membuat permohonan untuk mengadap kepada Tuanku melalui saluran rasmi,” katanya.