KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan alih arteri yang pertama ke atas salah seorang bayi kembar Siam yang berjaya dipisahkan pada Mac.
Ketua Jabatan Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital IJN, Dr Hasri Samion berkata Aleesha Hana dan kembarnya Aleeya Hana dilahirkan pada 19 Februari tahun ini di Sabah dengan Aleesha didiagnos menghidap Transposition of the Great Arteries (TGA) dua minggu kemudian.
TGA ialah situasi apabila aorta bersambung ke ventrikel kanan dan arteri pulmonari bersambung ke ventrikel kiri menyebabkan darah beroksigen dan darah nyahoksigen bercampur dan dengan itu, paru-paru dan tubuh badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Dr Hasri mengaku bahawa pembedahan itu mencabar kerana ia melibatkan pelbagai peringkat pembedahan dan pasukan pakar dari pelbagai lokasi bermula dengan pembedahan untuk memisahkan kembar itu yang dilakukan di Hospital Likas di Sabah.
"Kami tidak dapat melakukan pembedahan dengan segera kerana Aleesha masih bercantum dengan kembarnya. Pasukan Pediatrik Hospital Likas bersama-sama dengan pakar bedah pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian melakukan pembedahan sebelum mereka berjaya dipisahkan,’’ katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, ini menyebabkan kelewatan yang menimbulkan risiko kepada bayi yang akan menjalani pembedahan itu.
"Bayi itu dipindahkan ke IJN ketika berusia tiga bulan untuk pembedahan jantung sedangkan pembedahan itu boleh dilakukan ketika dia berusia satu bulan,’’ kata beliau.
Dr. Hasri berkata kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa teknologi komunikasi canggih yang membolehkan pasukan pediatrik mengenai keadaan bayi tersebut apabila dilahirkan.
Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Siva Kumar Sivalingam yang melakukan pembedahan itu berkata Allesha menjalani pelbagai prosedur kecemasan dan ia mengambil masa yang lebih lama untuk proses sembuh.
"Bayi itu juga didapati menghadapi masalah paru-paru lemah dan dijangkiti sebelum pembedahan. Selepas keadaannya stabil, dia menjalani pembedahan yang mengambil masa empat jam pada 16 Mei,” kata beliau.
Aleesha akan dipindahkan semula ke Sabah esok sementara ibunya ketika ditemui memuji IJN dan para doktor yang berjaya menyelamatkan cahaya matanya.- Bernama