Orang ramai dilarang masuk Kuala Koh

Iklan
Dr Dzulkefly (kanan) semasa sidang media di Gua Musang hari ini.
GUA MUSANG - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki perkampungan Orang Asli Kuala Koh bagi mengelak sebarang jangkitan kuman pada paru-paru mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kawasan berkenaan memerlukan pengasingan kerana jangkitan dikenal pasti berlaku disebabkan pernafasan.

"Ia cepat merebak. Kita tak mahu ia merebak lebih luas, jadi kita kena hadkan dari segi pergerakan supaya mereka tidak terdedah kepada jangkitan melalui pernafasan ini. Kita tak galakkan mereka datang dan mengunjungi kawasan berkenaan, ini bukan masanya.

"Anggota kita yang ingin masuk ke sana pun kita tegaskan supaya mereka lengkapkan diri dengan peralatan yang sesuai supaya tidak dijangliti dan menjangkiti orang lain," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat dan melawat pesakit orang asli di Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya juga memerlukan sedikit masa lagi untuk mengenal pasti punca penyakit yang menyerang masyarakat orang asli berkenaan.

"Kita juga perlukan masa untuk kesan secara tepat jenis virus atau bakteria yang terlibat. Kita akan teruskan dengan ujian lebih terperinci, puncanya kemungkinan besar disebabkan bakteria dan mungkin juga virus.

"Kita yakin dalam masa terdekat ia dapat dikenal pasti secara tepat," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, bagaimanapun pihaknya menyangkal dakwaan punca kematian dua penduduk orang asli berkenaan disebabkan kencing tikus atau tuberculosis (TB).