Kementerian Kesihatan sedia buat ujian forensik

Iklan
Dr Dzulkefly (kanan) bertanya khabar keadaan kesihatan semasa anak-anak orang asli yang dirawat di hospital.

GUA MUSANG - Kementerian Kesihatan sedia bekerjasama membuat ujian forensik terhadap 12 mayat Orang Asli Batek di Kuala Koh yang ditanam mengikut adat bagi mengesan punca sebenar kematian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut bergantung kepada permintaan untuk berbuat demikian.

Iklan
Iklan

"Terserah kepada polis untuk mengesan semula kubur berkenaan yang ditanam secara adat masyarakat itu di dalam hutan.

"Setakat ini kita sudah jalankan bedah siasat terhadap dua mayat yang dikebumikan mengikut cara Islam," katanya kepada media, di sini hari ini.

Iklan

Dzulkefly berkata, pihaknya sudah jalankan siasatan berhubung perkara itu di Kampung Kuala Koh tetapi gagal mengesan kubur berkenaan kerana didakwa ditanam merata-rata.

"Apabila ditanya mengenai kubur berkenaan, mereka sendiri tidak tahu," katanya.

Iklan

Terdahulu beliau bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin mengikuti taklimat serta melawat pesakit orang asli yang dirawat di Hospital Gua Musang.

Difahamkan kira-kira 50 Orang Asli Bateq yang masih menerima rawatan di tiga hospital di negeri ini termasuk 37 orang di HGM, 12 orang di Hospital Kuala Krai dan seorang di Unit Rawatan Rapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan perkampungan berkenaan berikutan risiko penyakit berkenaan mudah berjangkit.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkifly berkata, pihaknya juga memerlukan sedikit masa lagi untuk mengenal pasti punca penyakit yang menyerang masyarakat orang asli berkenaan.

"Kita juga perlukan masa untuk kesan secara tepat jenis virus atau bakteria yang terlibat.

"Kita yakin dalam masa terdekat ia dapat dikenal pasti secara tepat," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, bagaimanapun pihaknya menyangkal dakwaan punca kematian dua penduduk orang asli berkenaan disebabkan kencing tikus atau Tuberculosis (TB).