KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa semua Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd membuat lawatan ke sebuah bank di Lugano, Switzerland untuk memastikan dana milik syarikat itu disimpan dengan selamat, pada September 2013.
Bekas ahli lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail berkata, seluruh ahli lembaga pengarah syarikat itu pergi ke ibu pejabat Bank BSI Limited, yang kini dikenali sebagai EFG International di Lugano, Switzerland untuk memastikan dana yang disimpan masih ada di bank.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Ishak: Pada September 2013 (merujuk kepada minit SRC International untuk tahun itu), adakah Tan Sri pergi ke Switzerland?
Ismee: Ada. Semua ahli lembaga pengarah termasuk saya, Datuk Rashidi Che Omar, Datuk Suboh Mat Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ishak: Adakah lawatan ini atas kebenaran pemegang saham?
Ismee: Ini adalah inisiatif yang dibuat oleh pihak pengurusan. Saya tidak maklum sekiranya ada persetujuan daripada pemegang saham atau tidak.
Ishak: Kenapa kena pergi?
Ismee: Kita perlu pergi kerana banyak isu berbangkit mengenai dana di Switzerland. Kita perlu mengkaji bank tersebut kerana sebelum ini pihak pengurusan hanya bercerita sahaja. Kami pergi untuk mendapatkan kepastian bahawa wang kami selamat di BSI Bank.
Ketika ditanya Ishak mengenai pihak pengurusan yang dimaksudkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji itu menjawab Nik Faisal Ariff Kamil selaku Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.
Ishak: Jadi apa hasil lawatan Tan Sri ke bank itu?
Ismee: Secara peribadi saya berasa lega kerana BSI adalah bank yang besar.
Ishak: Mengapa penting untuk pastikan wang itu ada di BSI?
Ismee: Untuk pastikan wang masih di sana, sangat penting untuk kita pastikan perkara itu. Untuk memastikan dana kita masih di sana, dideposit dalam bank.
Ishak: Macam mana Tan Sri tahu wang itu benar-benar di sana?
Ismee: Mereka tidak tunjuk wang itu tetapi kami berjaya mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai paling kanan, saya rasa kami bertemu dengan presiden (bank berkenaan). Saya tak ingat nama mereka, mereka berikan penjelasan tentang operasi bank. Kami berasa lega kerana wang itu ada di sana.
Ketika dirujuk kepada satu minit mesyuarat yang menyebut sebahagian wang di Switzerland dibawa pulang pada sesi lawatan itu, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata ia dibawa pulang kerana masih belum digunakan untuk pelaburan sepatutnya.
Katanya, antara bahagian wang yang dibawa pulang adalah dana yang masih belum dilaburkan untuk usahasama dengan syarikat pelaburan Abu Dhabi, Aabar Investments.
Terdahulu, ketika ditanya Ishak mengenai siapa yang ditugaskan untuk merekod semua minit mesyuarat ahli lembaga pengarah SRC dari 2011 sehingga 2013, Ismee berkata ia disediakan oleh Terence Geh yang mewakili setiausaha syarikat SRC.
Ditanya mengenai minit mesyuarat ahli lembaga pengarah pada 2013, yang tidak mempunyai tandatangannya, selaku pengerusi mesyuarat itu, Ismee berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
"Lazimnya kesemua minit mesyuarat akan diserahkan kepada saya untuk ditandatangani namun minit yang dirujuk ketika ini (2013) tiada tandatangan saya. Bagaimanapun, saya hanya menyedari perkara itu semasa disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Tiada salinan yang ditandatangani.”
Kepada soalan Ishak, sama ada beliau mengetahui di mana minit mesyuarat tahun 2013 yang ditandatanganinya, Ismee berkata:"saya tidak tahu dan tidak maklum”.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- Bernama