KUANTAN -"ALLAH sahaja tahu bagaimana kami jaga ibu,” kata anak kepada warga emas yang tertinggal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi menghala ke Kuantan ketika dalam perjalanan ke Terengganu bersama anaknya kelmarin.
Menjelaskan situasi sebenar yang berlaku, Batiah Mahadi berkata, ketika kejadian abangnya membawa ibunya itu beraya ke Terengganu.
Namun, katanya, pada hari kejadian, abangnya kurang sihat dan kebetulan semua ahli keluarga yang lain sedang tidur.
"Semasa abang saya berhenti di R&R Bukit Besi, dia (abang) tidak sedar ibu keluar untuk ke tandas. Abang juga terlupa memeriksa belakang kereta dan berlalu pergi.
"Tetapi selepas menyedari ketiadaan ibu, abang saya segera berpatah balik untuk mendapatkan semula ibu,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Menurutnya, dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, warga emas itu selamat dijemput oleh seorang waris dan kini wanita berusia 75 tahun itu selamat di bawah jagaan keluarganya.
Mengulas mengenai tohmahan dilemparkan oleh warganet terhadap keluarganya susulan insiden tersebut, Batiah berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk memaafkan sahaja.
"Walaupun banyak sangat yang tidak betul dan pelbagai tohmahan dilemparkan kepada kami, tak apa kerana ALLAH ada.
"Biar Dia sahaja yang menghitung semua.
"ALLAH tahu bagaimana kami jaga mak. Abang saya jaga mak sejak dulu. Dia tulang belakang mak,” katanya.