IWATE - Di utara Jepun terdapat sebuah pondok telefon yang digunakan penduduk untuk ‘menghubungi’ insan tersayang yang telah meninggal dunia.
Itaru Sasaki, seorang penduduk tempatan di bandar kecil Otsuchi yang kematian sepupunya pada tahun 2010, membina sebuah pondok telefon di taman miliknya yang terletak di puncak sebuah bukit di kawasan Namiita yang menghadap ke laut.
Pondok telefon berwarna putih yang juga dikenali sebagai kaze no denwa atau ‘telefon angin’ itu dilengkapi sebuah telefon lama yang tidak berfungsi.
Walaupun menyedari panggilannya tidak akan berjawab, namun Sasaki akan mendail nombor telefon sepupunya dan bercakap bagi melepaskan kerinduan.
Menurut pereka taman berkenaan, rasa rindunya akan dibawa angin dan disampaikan kepada roh sepupunya walau di mana dia berada.
Sasaki akan bercerita tentang kehidupan sehariannya dan apa sahaja yang terlintas di fikirannya pada ketika itu, dan sejak itu ramai penduduk tempatan mula menggunakan khidmat telefon angin tersebut.
Taman milik Sasaki itu terbuka untuk semua dan terdapat juga buku pesanan di mana mereka yang berkunjung ke pondok telefon angin tersebut boleh meninggalkan pesanan buat ahli keluarga yang telah tiada.
Kewujudan pondok telefon itu kemudian menjadi bualan ramai susulan tsunami besar yang melanda Jepun pada tahun 2011 yang meragut lebih 15,000 nyawa.
Ramai penduduk dari jauh dan dekat yang kehilangan insan tersayang ekoran tsunami terbabit datang ke bandar Otsuchi di wilayah Iwate bagi ‘menghubungi’ ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Menurut mereka, ia merupakan salah satu cara untuk menangani kesedihan dan kerinduan ekoran kehilangan yang dialami akibat tragedi terbabit.
Selain mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tsunami terdapat juga pengunjung yang kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan datang ke taman berkenaan dan menggunakan telefon angin tersebut. - Agensi