MARANG - Lemang dan rendang tetap menjadi juadah istimewa untuk dinikmati masyarakat setempat sehingga sambutan 'raya enam' yang bakal disambut pada 8 Syawal iaitu Rabu ini.
Kesempatan itu diambil seorang pengusaha juadah raya itu untuk membuka gerainya seawal jam 9.00 pagi sehingga 10 malam di Kampung Undang di sini bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Pengusaha terbabit, Zuhailan Awang, 45, berkata, harga lemang jualannya masih berharga RM7 hingga RM10 sebatang walaupun sekampit beras pulut seberat 50kg kini sudah naik harga.
"Insya-ALLAH saya masih dapat mengekalkan harga lemang, yang penting kita dapat berkongsi kemeriahan menyambut hari raya khususnya bagi yang menyambut raya enam Rabu ini," katanya hari ini.
Bekas askar itu berkata, sambutan 'raya enam' pada 8 Syawal masih menjadi amalan kalangan masyarakat di negeri ini dan di beberapa negeri lain.
Katanya, tradisi bagi meraikan mereka yang selesai mengerjakan puasa enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal terutama di kalangan ibu bapa atau keluarga bagaikan penutup sambutan Aidilfitri.
"Selain menyediakan pelbagai sajian hidangan kepada tetamu termasuk lemang dan rendang, ia turut menjadi alternatif untuk ahli keluarga berkumpul setelah tidak dapat berkumpul pada awal Syawal.
"Ramai juga yang memilih tarikh itu untuk mengadakan majlis rumah terbuka di sana sini dan sambutan terhadap juadah yang dijual ini meningkat untuk dijadikan hidangan raya enam," katanya.
Zuhailan berkata, dia dan rakan kongsinya, Mohd Azrol Omar, 34, mampu menjual sehingga 300 batang lemang dalam tempoh dua hari dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang Rabu ini.