KOTA BHARU - Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini, untuk diambil keterangan ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh Pemuda PKR Cabang Ketereh, mengenai tuduhan ke atasnya yang dikatakan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Difahamkan, laporan polis dibuat ke atas Takiyuddin yang dikatakan mempersoalkan kuasa YDPA yang memberi pengampunan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Takiyuddin yang tiba di IPD Kota Bharu pada pukul 2.45 petang, turut ditemani kira-kira 30 orang penyokongnya dan diambil keterangan selama kira-kira dua jam.
Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, beliau hadir sebenarnya bagi memberi keterangan mengenai ceramahnya yang dibuat di PRK Parlimen Sandakan bulan lalu.
Katanya dalam ceramahnya itu beliau hanya menjelaskan yang Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri atau pemimpin negara, kerana beliau adalah bekas banduan.
"Saya ingin menegaskan saya sama sekali tidak berniat mempersoalkan kuasa YDPA, yang memberi pengampunan kepada Anwar (Ibrahim)...apatah lagi YDPA ketika itu adalah dari Kelantan, dan saya sebagai rakyatnya.
"Kuasa Agong adalah yang diberikan di bawah undang-undang, cuma kita sebagai rakyat mahu tahu siapa yang meminta pengampunan berkenaan," katanya.
Takiyuddin berkata, Anwar sudah disabitkan kesalahan dalam Mahkamah Persekutuan sekurang-kurangnya dua kes termasuk salah guna kuasa ke atas pegawai polis dan liwat.
Katanya setakat ini kesnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi untuk menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga rusuhan dan sebagainya.
"Terserah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan saya menghormati kuasa dan tanggungjawab mereka dan berharap langkah terbaik diambil berdasarkan undang-undang untuk selesaikan kes ini," katanya.- Bernama