Gadis 16 tahun merangkak seperti bayi

Iklan
Zati Aina merangkak untuk bergerak di rumahnya di Kampung Pasir Pekan bercita-cita tinggi mahu jadi tukang jahit profesional.

TUMPAT - Usianya 16 tahun tetapi masih merangkak seperti bayi untuk bergerak.

Zati Aina Izad Fathan merupakan anak yatim dari Kampung Pasir Pekan di sini lumpuh dari paras pinggang ke bawah apabila dilahirkan dengan Spina Bifida (kecacatan tulang belakang).

Iklan
Iklan

Namun begitu, Zati Aina memiliki hati yang cekal kerana menyimpan impian mahu menjadi tukang jahit profesional.

Biarpun dilihat mustahil tetapi baginya, hanya kaki yang lumpuh tetapi tangannya masih mampu bergerak untuk dia belajar menjahit nanti.

Iklan

Zati Aina berkata, dunia kehidupannya banyak dihabiskan di dalam rumah ditemani ibunya, Normi Ibrahim, 45, selepas ayahnya, Izzat Farhan Che Mokthar meninggal dunia 10 tahun lalu kerana kanser mulut.

"Saya hanya sempat bersekolah setakat Tahun Satu sahaja, nak ke sekolah susah kerana badan cacat.

Iklan

"Tetapi saya mampu membaca dan menulis dengan lancar kerana belajar sendiri di rumah dengan kakak yang bersekolah di Tingkatan Lima dan adik di Tingkatan Satu," katanya merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Zati Aina belajar menjahit dengan ibunya, Normi.

Menurutnya, dia minat menjahit kerana sering melihat ibunya menyiapkan tempahan baju pelanggan yang menjadi punca pendapatan keluarganya.

Sementara itu, ibunya, Normi merupakan ibu tunggal berkata, Zati Aina meminati bidang jahitan tetapi disebabkan fizikalnya itu yang perlu memakai lampin pakai buang setiap masa sukar untuknya keluar rumah.

"Kalau boleh saya nak tengok dia masuk kelas jahitan, tetapi bila fikirkan soal kewangan dan anak saya perlu merangkak, saya buntu," katanya.

Menurutnya, jika dia yang mengajar sendiri Zati Aina menjahit, hanya jahitan baju kurung sahaja kerana itu sahaja kepandaian yang dimiliki.

"Saya bukan tukang jahit profesional, pelanggan pun hanya jiran sekampung, hanya tahu menjahit baju kurung sahaja sebagai pendapatan sampingan selain mengambil upah mengasuh anak saudara dengan upah RM300 sebulan.

"Perbelanjaan lampin pakai buang Zati Aina harapkan sepenuhnya daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Menurutnya, Zati Aina sering juga belajar menjahit di rumah kerana banyak masa terluang dan menggunakan lutut untuk menggerakkan mesin jahit.

Katanya, melihat kesungguhannya itu, dia berharap ada pihak dapat merealisasikan impian anaknya itu kerana keinginannya mahu belajar sangat luar biasa.

Zati Aina bersama ibu dan kakaknya, Zati Adlin (dua dari kanan) dan adiknya Zati Ayuni.

"Saya yakin impiannya akan menjadi kenyataan, lagikan belajar ÀBC di rumah dia boleh membaca dengan lancar, inikan pula bidang jahitan yang dia minat," katanya.

Sesiapa yang prihatin untuk membantu Zati Aina boleh salurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional milik Normi (03116 29 000 10938 7).