KUANTAN - Mendengar laungan takbir raya pada pagi 1 Syawal pasti membuatkan sesiapa saja terasa sayu apatah lagi jika tidak bersama insan tersayang.
Daripada kejauhan, tersemat perasaan rindu dan sebak mengenangkan keluarga di kampung halaman.
Itu situasi dihadapi anggota keselamatan yang terpaksa berkorban demi tugas kepada masyarakat dan negara.
Anggota Unit Tindakan Unit Cepat Kawalan Lalulintas BSPTD Kuantan, Sarjan Hamizi Hamid, 48, berkata, sudah banyak kali terpaksa beraya di atas jalan raya bagi mengawal lalu lintas.
Menurutnya, walaupun terpaksa menyambut Aidilfitri ketika bertugas tidak bererti mereka harus melupakan segala keseronokan berhari raya sebaliknya turut menyambutnya dengan meriah bersama rakan sekerja.
Katanya, hanya dengan cara itu, rasa sayu dan pilu di hati masing-masing dapat dilupakan.
"Sedih dan pilu itu memang terasa tetapi sebagai anggota polis terutamanya cawangan trafik saya kena bersedia berkhidmat di pagi raya.
"Saya juga sudah lali dengan semua ini kerana sudah banyak kali terpaksa bertugas dan saya bersama rakan-rakan sekerja lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai khususnya memastikan kelancaran trafik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kerang di sini baru-baru ini.
Keluarga tidak merungut
Beliau yang sudah berkhidmat dalam PDRM hampir 28 tahun berkata, isteri dan anak-anak memahami tugasnya sebagai anggota polis tidak pernah merungut walaupun terpaksa beraya tanpa kehadirannya.
Katanya, kebiasaannya isteri dan anak-anak akan menunggunya di rumah dengan penuh sayu dan mengharapkannya pulang ke rumah awal untuk menyambut Aidilfitri bersama.
"Alhamdulillah saya ada Isteri dan anak-anak yang memahami tugas saya sebagai anggota trafik dan jika saya bekerja di hari raya mereka semua reda dan akur.
"Walaupun beraya di rumah sendiri, juadah raya disediakan dan ia mengubati kerinduan pada kampung halaman,” katanya.
Tak lupa hubungi keluarga di pagi raya
Sementara itu, Koperal Maizatul Asyikin Mazlan yang menjaga kaunter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, 33, berkata, dia hanya tiga kali berpeluang mengambil cuti untuk beraya bersama keluarga sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai anggota PDRM.
Beliau mengakui situasi itu biasa bagi anggota keselamatan sepertinya namun perasaan sayu dan pilu tetap dirasai apabila mengenangkan keluarga di kampung.
"Rasa sedih tu ada tapi reda sebab saya berkhidmat untuk masyarakat. Dalam masa yang sama saya mengambil kesempatan untuk menelefon ibu bapa di kampung untuk meminta maaf. Itu sahaja cara saya untuk menghilangkan rasa sayu di hati,” katanya.
Lumrah bertugas ketika lebaran
Koperal Mohd Faizol Mat Jusoh,36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, sudah menjadi lumrah anggota keselamatan diarahkan bertugas ketika lebaran.
Katanya, beliau juga tidak terkecuali terkena tempias itu dan bersedia memikul amanah PDRM untuk menjaga keamanan di negeri ini.
"Rasa pilu, sedih bercampur baur itu ada. Lagipun saya dah banyak kali bertugas raya, ini rutin biasa bagi setiap anggota keselamatan.
"Tapi demi amanah dan arahan yang diberikan pucuk pimpinan PDRM, saya jalankan amanah itu sebaiknya dengan mengetepikan semua perasaan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Faizol yang berasal dari Kelantan berkata, ahli keluarga memahami kerjayanya sebagai anggota keselamatan.