Ziarah pusara setiap hari

Iklan
Rosmilawati sekeluarga akan ke pusara Allahyarham Muhammad Ilham Fahmy hampir setiap hari sejak pemergian anak kedua dalam keluarga itu.

PUCHONG - Pusara anaknya kini ibarat taman permainan yang akan dikunjungi setiap hari untuk ‘bermain’ bersama-sama.

Hampir lapan bulan sudah berlalu, kejadian yang meragut nyawa anak keduanya itu terasa masih baharu.

Iklan
Iklan

Tanggal 3 Oktober tahun lalu menjadi detik memilukan buat keluarga Rosmilawati Saidin, 45, ibu kepada Allahyarham Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, remaja yang meninggal dunia akibat lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana Puchong.

Tragedi menyayat hati itu bukan hanya membabitkan anaknya tetapi turut meragut nyawa enam anggota bomba akibat lemas ketika operasi menyelamat dijalankan.

Iklan

"Sejak kejadian itu, boleh dikatakan saya akan pergi ke kubur setiap hari kecuali jika hari hujan. Jika dulu waktu arwah kecil saya selalu bawa main ke taman, sekarang ini tanah perkuburan ibarat taman buat saya. Saya akan pergi untuk bersama-sama dengan dia.

"Bukan saya tak reda tapi bukan mudah untuk melupakan. Hanya yang pernah merasai kehilangan yang memahami. Apatah lagi dia pergi secara tiba-tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Gambar dirakamkan ketika Syawal tahun lalu menjadi kenangan bagi keluarga Allahyarham Muhammad Ilham Fahmy.

Ramadan, Syawal amat berbeza

Rosmilawati berkata, kejadian itu benar-benar memberi kesan besar buat mereka sekeluarga apabila Ramadan dan Syawal kali ini dirasakan amat berbeza.

"Biasanya setiap kali berbuka puasa, arwah yang akan membacakan doa. Sekarang ini adiknya pula ambil alih. Sebelum ini saya akan masak setiap hari kerana arwah memang suka makan. Bila dia tiada, saya masak pun tak banyak. Kadangkala hanya beli. Terasa sungguh kehilangannya.

"Raya kali ini juga kami sekeluarga tidak ke mana. Biasanya memang akan pulang ke Kampung di Nibong Tebal Pulau Pinang. Arwah orang paling teruja setiap kali balik kampung untuk beraya.

"Tapi tahun ni arwah tak ada jadi kami putuskan untuk tidak pulang ke kampung. Kami akan teringat dan sedih bila kenangkan dia,” katanya.

Mengimbau kejadian petang Rabu itu, Rosmilawati berkata walaupun dia sedar yang anaknya sudah tiada tapi dia masih meletakkan harapan untuk anaknya pulang dalam keadaan masih bernyawa ketika tempoh pencarian jasad belum berakhir.

"Ketika jasad telah ditemui saya begitu lemah dan tidak mampu untuk melihatnya. Namun ketika saat-saat akhir dikafankan, saya gagahkan diri untuk menatap wajahnya buat kali terakhir. Alhamdulillah ALLAH SWT beri kekuatan untuk saya lakukannya,” katanya.

Baju terakhir dipakai anaknya sebelum kejadian yang meragut nyawa 3 Oktober tahun lalu.

Baju terakhir pengubat rindu

Berkongsi rasa, suri rumah ini mengakui begitu merindui anaknya dan baju terakhir yang dipakai arwah ketika kejadian itu menjadi mengubat rindu yang tiada penghujung itu.

Baju berkenaan dikatakan dibuka arwah sebelum terjun ke lombong itu dan diberikan kepada rakannya.

"Saya bawa pulang dan basuh. Sehingga kini jika terlalu rindu saya akan cium baju itu. Malah baju-baju serta barang peribadi arwah masih berada elok dalam bilik. Saya tak simpan atau usik. Semuanya masih seperti biasa. Jadi ia buat saya rasa seperti dia masih ada.

"Motosikal kesayangan arwah juga masih tersimpan elok. Tiada siapa yang guna. Saya akan cuci dan hidupkan enjin sekali-sekala,” katanya yang turut berkongsi rasa gembira diberi peluang ‘bertemu’ anaknya itu dalam mimpi beberapa kali.