SEJAK kerajaan Pakatan Harapan mentadbir Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu, pelbagai pembaharuan dicanang dan cuba dilaksanakan di bawah slogan Malaysia Baharu.
Bermula dengan tekad untuk menyelamatkan Malaysia, kerajaan PH berjanji untuk mentadbir mengikut Rule of law demi memastikan kerajaan yang telus dan bebas rasuah.
Selain tekad dan usaha memulihkan integriti, pemimpin PH juga kelihatan ghairah memperkenalkan idealisme sosial dan budaya dalam usaha pengisian Malaysia Baharu.
Tidak ketinggalan juga dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh pemimpin parti Amanah terutamanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof bagi mengimbangi pengaruh Islam parti Pas.
Konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh pemimpin PH cuba memberi alternatif atau pilihan kepada konsep keras yang dibawa Pas seperti mendoakan kemusnahan musuh kepada mendoakan kebaikan dan memohon supaya musuh berubah.
Begitu juga pendekatan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diubah dengan menyantuni dan mendengar keluhan mereka.
Namun, pendekatan itu menyebabkan masyarakat menganggap pentadbiran Malaysia Baharu merestui dan mempromosi LGBT terutamanya setelah isu tandas meledak di media sosial.
Setelah setahun kerajaan PH mentadbir, nampaknya pemimpin-pemimpinnya tidak mengambil pengajaran daripada isu-isu yang berlaku sebelum ini.
Pada Ramadan yang baru sahaja berlalu, pemimpin bukan Islam dari parti DAP mengagih dan menyerahkan kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada penduduk Islam.
Tindakan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang tular di media sosial mendapat kritikan hebat daripada warganet dan pemimpin pembangkang serta golongan agama.
Walaupun Chun Kit menjelaskan bahawa penyerahan dilakukan oleh pegawai seranta ADUN yang beragama Islam dan beliau hanya bergambar sebagai informasi kepada pengundi kawasannya, masyarakat Islam masih tidak dapat menerimanya.
Seolah-olah tidak serik dengan isu agihan bantuan zakat, timbul pula isu berbuka puasa di kuil Sikh.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula dikecam kerana menghadiri Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru di Gurdwara Sahib.
Akmal berkata, tahun lalu beliau pernah menghadiri majlis iftar anjuran komuniti Sikh di Gurdwara Sahib, cuma tanpa hebahan. Walau pada awalnya beliau keberatan menerima undangan kerana bimbang menimbulkan pelbagai pandangan dan tohmahan, akhirnya Akmal hadir setelah merujuk kepada mereka yang pernah berhadapan dengan situasi sebegitu.
Apa pun penjelasan yang diberi, persepsi yang terbentuk amat sukar dikikis tambahan pula warganet yang mendominasi ruangan komen memberikan pelbagai pendapat yang sukar untuk ditepis. Tambahan pula ahli agama seperti Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang dilihat sebagai agamawan yang berkecuali turut memberi kritikan terhadap tindakan berbuka puasa di kuil tersebut.
Menurut Abdul Rahman, sepatutnya orang Islam yang mengajak orang bukan Islam berbuka di masjid untuk menyebarkan syiar Islam dan bukan sebaliknya.
Mungkin dalam keghairahan pemimpin PH menunjukkan mereka mempunyai pemikiran lebih terbuka, mereka terlupa bahawa tidak semua idealisme boleh diterima masyarakat.
Idealisme atau pembaharuan berkaitan agama terutamanya agama Islam amat sensitif bagi penganutnya terutamanya setelah timbul persepsi agama Islam dibuli di Malaysia.
Kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam status Facebook DrMAZA.com pada 29 April lalu meluahkan kekecewaan beliau terhadap penangkapan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth atas dakwaan menghina agama Hindu.
Katanya, beliau tidak menyalahkan pihak polis tetapi perkara itu berlaku kerana realiti politik hari ini membiarkan umat Islam dibuli. Jika begitu, adakah konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa tersasar atau adakah pelaksanaannya belum begitu jelas dan meluas sehingga umat Islam terasa dibuli dan tidak selamat?
Adakah hanya masyarakat Melayu Islam yang perlu bertoleransi demi menjayakan idealisme Malaysia Baharu dan konsep ‘rahmatan lil alamin’?
*Taufik Asmady Abdul Aziz ialah Ketua Unit FWOD (Media Sosial) Sinar Harian