KELANTAN - [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan (PH) Kelantan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri itu yang masih belum melakukan sebarang penyitaan ke atas lombong haram yang masih beroperasi di Kampung Kuala Koh.
Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa berkata, sehingga petang semalam, kenderaan berat kegunaan lombong tersebut masih ada di tapak, di mana sepatutnya tindakan penyitaan perlu dilakukan bagi lombong haram.
"Ini adalah lombong terdekat dengan penempatan orang asli Kuala Koh dan terdapat dua anak sungai yang mengalir dari sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai dilarang masuk Kuala Koh
Punca jangkitan masih belum dapat dipastikan
"Terlepas sama ada kematian orang asli berpunca daripada pencemaran lombong ini atau tidak, atas operasi tanpa lesen, pihak penguat kuasa perlu bertindak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebelum ini dilaporkan bahawa terdapat lombong manganese atau keluli terbesar yang terletak di Kuala Koh, yang juga didakwa oleh orang asli menjadi punca kematian komuniti mereka.
Menerusi hasil tinjauan juga, mendapati kerja-kerja perlombongan sudah dihentikan namun masih ada jentera berat yang berada di lokasi terbabit.
Dalam pada itu, Husam berkata, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam lawatannya ke kampung itu pada hari Ahad lalu telah mengesahkan lombong tersebut beroperasi tanpa lesen.
"Tidak ada satu papan tanda nama pelombong atau apa-apa maklumat lain dipamerkan di kawasan lombong berkenaan.
"Ketika lawatan itu dibuat, lombong masih beroperasi. Penyelia lombong dikatakan mengaku mereka ada menggunakan bahan letupan, namun jenis bahan kimia untuk letupan tidak dinyatakan,” katanya.
Justeru, pihaknya berharap Kerajaan Kelantan dapat berbuat sesuatu dan Kerajaan Persekutuan juga tidak berdiam diri sejauh tugas dan kewajipan mereka yang berkaitan.
"Selain dari dunia ingin tahu, dunia juga memerhati bagaimana keseluruhan isu ini diuruskan daripada semua segi. Yang telah lalu, kini dan akan datang,” katanya.