JOHOR BAHRU - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan rekod dunia baharu bagi pelepasan kapal dengan muatan akhir lebih 19,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).
Kejayaan tersebut dicapai apabila kapal Monaco Maersk meninggalkan pelabuhan tersebut dengan rekod muatan 19,284 TEU, mengatasi rekod muatan 19,190 TEU dicapai oleh kapal MOL Tribune pada Februari lalu.
Pengerusi PTP, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian terbaru itu merupakan bukti komitmen PTP dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
"Sebagai pelabuhan dan pengendali logistik utama Malaysia, kami berbangga dengan keupayaan untuk menjangka dan memahami keperluan pelanggan serta ketangkasan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan industri agar kami dapat terus maju.
"Pada tahun ini, kami akan terus mengukuhkan asas kami dan mengoptimumkan kos untuk kecekapan operasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Che Khalib yang juga Pengarah Urusan Kumpulan MMC berkata, PTP tetap memberi tumpuan kepada soal hasil, dan komited mengembalikan lebih banyak nilai kepada pemegang taruhnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, kejayaan tersebut dicapai berikutan semangat dan komitmen warga PTP dan semua pihak yang terlibat.
"Pelbagai aktiviti pelaburan dan penambahbaikan yang berterusan telah berjaya dilaksanakan, dan kini sedang dijalankan untuk memastikan kami dapat mencapai sasaran untuk tahun kewangan ini.
"Lebih penting adalah untuk melindungi kedudukan PTP antara hab pemindahan kargo antara kapal terunggul di dunia," katanya.
PTP mencatatkan kadar keseluruhan muatan barangan sebanyak 9 juta TEU pada 2018 dan diunjurkan akan mengendalikan kadar muatan keseluruhan yang disasarkan sebanyak 9.5 juta TEU pada tahun ini.