Paip Gate K8 KLIA 2 pecah tak ganggu jadual penerbangan

Iklan
Video berdurasi 7 saat yang dimuat naik seorang pengguna Twitter menunjukkan paip di Gate K8 pecah sehingga menyebabkan siling di ruang itu runtuh.

SEPANG - Malaysia Airlines Berhad (MAB) memaklumkan paip pecah yang berlaku di balai pelepasan Gate K8, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) semalam tidak menyebabkan sebarang gangguan terhadap jadual penerbangan dan memberi kesulitan kepada pengguna.

MAB melalui kenyataan media semalam berkata, kejadian itu berlaku pada 5.30 pagi dan kerosakan siap dibaiki pada 2.30 petang hari yang sama.

Iklan
Iklan

"Jurutera dan pasukan pembersihan kami bekerja dengan pantas untuk membaiki kerosakan yang berlaku dan pintu masuk dibuka semula pada waktu tengah hari malah siling yang rosak juga turut diganti.

"Insiden itu tidak menyebabkan gangguan kepada operasi penerbangan atau sebarang kesulitan kepada penumpang,” kata kenyataan itu.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pasukan membaik pulih bertindak pantas bagi memastikan operasi berjalan lancar terutamanya ketika waktu kemuncak.

"Insiden ini tidak memberi kesan kepada operasi penerbangan kerana KLIA 2 kerana mempunyai ruang yang cukup untuk menampung sebarang perubahan pintu penerbangan dan kami dapat menukarkan semula pintu-pintu itu sebelum masa penerbangan.

Iklan

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kecekapan dalam mengendalikan keadaan termasuk syarikat penerbangan serta rakan pengendalian yang memahami kesulitan yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Raja Azmi juga memaklumkan, pasukan kejuruteraan akan terus memantau keadaan paip yang diganti supaya kejadian sama tidak berulang.

Semalam sebuah video dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, Ah Boon, yang menunjukkan paip di dalam siling pecah.

Insiden itu menyebabkan siling di bilik menunggu itu runtuh dan air memenuhi ruangan berkenaan.