Dua rakyat Malaysia dipenjara di Brunei

Iklan
mahkamah2

KUCHING - Episod perlanggaran sebuah bot di perairan Brunei yang meragut dua nyawa dan kemudian bertukar menjadi kes penyeludupan, berakhir semalam apabila lapan lelaki, dua daripada mereka rakyat Malaysia, dijatuhi hukuman penjara dua tahun, oleh mahkamah majistret Brunei.

Menurut laporan yang disiarkan hari ini oleh akhbar Borneo Bulletin berpangkalan di Brunei, dua rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina – Mohamad Sayurul Nizam Julhani; Jes Taulas; Simar Mohd Zain; Mohd Hazman Awie; Juan Nasir; Jimee Nassaruddin; Henry Subilin dan Hassan Hussin – disabitkan kesalahan kerana menyeludup kotak mengandungi minuman keras pada 5 Disember.

Iklan
Iklan

Mereka kemudian memberi maklumat palsu kepada Polis Marin Brunei pada 6 Disember.

Laporan itu menyebut Ketua Majistret Pengiran Masni Pengiran Haji Bahar dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dr Mohd Hussin Ali Idris bagaimana kesemua defendan, kecuali Hassan, belayar dari Labuan di dalam sebuah bot yang sarat dengan muatan minuman keras, menuju ke Limbang, pada 6 petang, 5 Disember.

Iklan

Sementara itu, Hassan dan dua lagi lelaki di dalam sebuah bot lain, menghantar muatan minuman keras itu ke Limbang. Tugas mereka selesai sebelum 8.30 malam.

Ketika bot kedua menghala balik ke arah Labuan menerusi perairan Brunei, ia bertembung dengan bot pertama berhampiran Pulau Selirong.

Iklan

Kesemua lelaki itu terhumban ke dalam laut, dan mereka diselamatkan oleh sebuah feri yang kebetulan lalu di situ. Seorang daripada rakan Hassan meninggal dunia dalam kemalangan itu manakala seorang lagi masih hilang.

Kelapan-lapan lelaki itu dibawa ke Serasa, di mana mereka berbohong kepada Polis Marin bahawa mereka menghantar ikan untuk jualan di Limbang, lapor akhbar harian itu. - Bernama