'Lebai' sembah tokong bebas dengan jaminan polis

Iklan

BAGAN SERAI - Seorang lelaki berbangsa Cina yang ditahan polis semalam selepas mencetuskan kontroversi apabila klip videonya menyembah tokong dengan memakai kain pelekat dan berkopiah di Tanjung Piandang, dekat sini baru-baru ini tular di media sosial, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pasukan siasatan khas dari Ibu Pejabat Polis cawangan Bukit Aman untuk menyiasat lanjut kes berkaitan suspek berusia 43 tahun hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai nelayan dan berasal dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang, dekat sini dibebaskan dengan jaminan polis dalam tempoh 24 jam iaitu sebelum jam 7 petang atau sehingga siasatan pasukan khas itu selesai.

"Suspek sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit Buntar bagi mendapatkan permohonan reman pada pagi ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki kopiah, berkain pelekat sembah tokong ditahan

"Namun permohonan reman dibatalkan susulan pasukan siasatan khas dari Ibu Pejabat Polis cawangan Bukit Aman hendak menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek hari ini," katanya kepada media di sini hari ini.

Iklan

Omar Bakhtiar berkata, polis bagaimanapun memberi jaminan kes kontroversi membabitkan suspek yang berpakaian seperti 'lebai' melakukan aktiviti pemujaan tokong 'Dato Kong' tidak akan terhenti setakat itu sahaja.

"Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek bagi memastikan kes dijalankan mengikut undang-undang ditetapkan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan suspek ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira jam 5.00 petang semalam setelah bertindak menyerah diri.

Omar Bakhtiar berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut susulan satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh wakil Jawatankuasa Masjid Jamek Tanjung Piandang pada jam 2.20 petang, 7 Mei lalu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan satu klip video yang dimuat naik dalam dua laman Facebook milik dua komuniti di Perak sejak Jumaat lalu, tular sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen, sama ada menghina Islam dan Melayu atau tidak.

Klip video 15 saat itu menunjukkan seorang lelaki Cina berpakaian kain pelekat, berkopiah putih dan berbaju-T putih – pakaian yang sering dipakai umat Islam – mengambil colok dan menyembah tokong.