Kertas cadangan Taman Rimba Kiara dijangka dibentang sebulan lagi

Iklan
Khalid memberi penerangan kepada pemberita pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma YWP hari ini.

KUALA LUMPUR - Kertas cadangan mengenai isu Taman Rimba Kiara dijangka akan dibentangkan dalam tempoh sebulan lagi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada maklum balas dari kementerian-kementerian dan peguam negara, Tommy Thomas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kertas kerja mengenai perkara itu telah siap sepenuhnya namun ia memerlukan sedikit masa susulan cuti perayaan baru-baru ini.

"Kita kena hantar kepada kementerian-kementerian lain dulu dan pejabat peguam negara. Kita hantar serentak," katanya pada sidang media yang berlangsung di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini.

Iklan

Sebelum ini, Khalid menyatakan bahawa kertas cadangan itu akan diberikan kepada jemaah menteri dan pejabat peguam negara untuk maklum balas.

Pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan di Taman Rimba Kiara, melibatkan pembangunan satu blok rumah mampu milik dan lapan blok kondominium mewah.

Iklan

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak termasuk penduduk di kawasan tersebut.

Awal bulan ini, Khalid mengumumkan pengecilan projek itu yang disifatkan sebagai keputusan 'menang-menang' kepada semua pihak terlibat, tetapi turut dibantah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan beberapa pihak lain.

Mengulas lanjut, Khalid berkata tiada lagi sebarang isu yang timbul menerusi keputusan sebelum ini seperti yang dibangkitkan oleh Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum ini.

"Secara jujurnya, tidak ada isu. Mereka timbul isu 'konflik kepentingan'," katanya.