MARANG - Majlis Daerah Marang (MDM) menurunkan sebanyak 3539 iklan haram dalam operasi sepanjang Mei sehingga akhir Ramadan lalu di beberapa kawasan di daerah itu.
Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, operasi dijalankan untuk membanteras kegiatan pemasangan iklan haram seperti gegantung tiada kelulusan di sekitar daerah.
Menurutnya, sasaran utama operasi tersebut dilakukan adalah untuk menurunkan iklan tanpa kelulusan, pinjaman wang tidak berlesen dan tamat tempoh di tiang lampu dan kawasan simpang.
"Ini juga bagi memastikan tiada iklan haram kelihatan sepanjang Syawal yang dapat memberi imej buruk kepada pihak berkuasa tempatan khususnya kepada perantau yang pulang berhari raya.
"Kami juga ingin mengingatkan orang ramai terutama peniaga agar tidak terjebak dengan sindiket pinjaman wang haram yang sentiasa menindas peminjamnya,” katanya kepada media hari ini.
Menyentuh tentang operasi itu, beliau berkata, ia akan diadakan secara berterusan oleh anggota penguat kuasa MDM yang diketuai Ketua Penguatkuasa MDM, Mohd Azam Arshad.
Beliau berkata, operasi itu juga bagi mencapai hasrat MDM dalam memastikan Marang bersih daripada iklan haram atau sifar iklan haram khususnya pinjaman wang tidak berlesen menjelang 2020.
"Kini Majlis Pengurusan Komuniti Kampung juga diberikan kebenaran untuk menurunkan iklan haram di kawasan masing-masing sekali gus dapat membantu bagi mencapai hasrat itu," katanya.