PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk menghidupkan semula Majlis Produktiviti Negara (NPC) bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik serta memacu agenda produktiviti negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keanggotaan NPC akan disusun semula supaya keahliannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkepakaran.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan setiap isu atau masalah produktiviti dapat dikenal pasti di semua peringkat.
"Mesyuarat kali ketiga Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini juga turut mengumumkan tiga mandat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan kesejahteraan rakyat.
"Atas tunjang pertumbuhan ekonomi, perkara utama yang telah dibincangkan dalam mesyuarat EAC adalah langkah menggalakkan usaha ekonomi terutamanya dengan mengurangkan kos urusniaga akibat peraturan dan kelewatan mendapat kelulusan urus niaga," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Perdana Putra di sini hari ini.
Katanya lagi, bagi menambah baik persekitaran urus niaga dan merancakkan lagi pelaburan swasta, langkah untuk mengurangkan kos urusniaga telah diberi perhatian khusus.
"Kesesuaian peraturan urus niaga akan disemak semula berdasarkan keperluan semasa dengan harapan dapat memberi manfaat langsung kepada usahawan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut memaklumkan kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif EAC yang diketuai Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk memandu analisis ke atas isu semasa yang dikenal pasti dan mengemukakan cadangan penyelesaian.