KOTA BHARU - Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang yang popular dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa tidak terjejas berikutan penularan pneumonia membabitkan masyarakat Orang Asli Batek ketika ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, setakat ini Taman Negara Kuala Koh terletak kira-kira 1km dari Kampung Kuala Koh yang terjejas dengan penyakit itu masih selamat untuk dikunjungi.
"Namun dalam masa yang sama kita menasihatkan pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama membekalkan diri dengan alatan kesihatan seperti topeng muka dan cecair pembersih tangan untuk perlindungan,” katanya di sini, hari ini.
Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat pneumonia bermula awal bulan lalu.
Menurutnya, buat masa ini Perhilitan tidak merancang untuk menutup Taman Negara Kuala Koh namun pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika mendapat arahan sedemikian.
"Kami dimaklumkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) hanya mengehadkan aktiviti keluar masuk ke kawasan terjejas dengan penularan penyakit berkenaan dan tidak melibatkan kawasan lain berdekatan perkampungan orang asli itu.
"Kami turut dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan keadaan di kawasan perkampungan orang asli yang terlibat masih terkawal jadi tiada keperluan buat masa ini untuk menutup Taman Negara Kuala Koh kepada orang ramai,” katanya.
Ady Ermanty Haniff berkata, seramai 39,448 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi Taman Negara Kuala Koh bagi tempoh 2010 hingga 2018.
"Kemasukan pengunjung ke taman negara itu yang dibuka setiap hari dilihat tidak terjejas ekoran isu itu," katanya.
Dalam pada itu, Ady Ermanty Haniff berkata, Perhilitan sedang mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya untuk melindungi dan memulihara populasi harimau belang di Semenanjung daripada terus pupus.
"Perhilitan menganggarkan terdapat kurang 200 harimau belang yang masih menghuni hutan-hutan di Semenanjung ketika ini.
"Orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai ladang-ladang pertanian dinasihatkan untuk memaklumkan segera kepada Perhilitan jika melihat kelibat harimau di luar habitatnya,” katanya. - Bernama