ALOR GAJAH - SME Corp Malaysia menggalakkan syarikat Bumiputera tempatan berorientasikan eksport menyertai program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) bagi memperluaskan perniagaan mereka di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Said berkata, pemohonan usahawan bagi program itu begitu rendah dan setakat ini daripada 1 juta usahawan Bumiputera SME, hanya 20 peratus yang menyertai usahawan eksport antarabangsa manakala 30 peratus menyertai pasaran domestik.
Menurutnya, peratusan itu dilihat masih rendah dan pihaknya sentiasa berusaha mempertingkatkan bilangan tersebut bagi memberikan bantuan dari segi kemudahan pembiayaan, kewangan dengan komponen seperti pembungkusan, pensijilan dan pengurusan sistem kualiti serta pembangunan dan inovasi produk.
"Kita sedia maklum masih banyak syarikat yang bersedia untuk meneroka pasaran antarabangsa dan kita akan membantu mereka seperti tapak eksport di negara luar untuk mereka pasarkan produk dan sebagainya.
"Daripada 1 juta usahawan SME Corp Malaysia, lebih kurang sekitar 200 ribu sahaja yang menceburi bidang eksport antarabangsa dan negeri tertinggi terdiri daripada Selangor, Pulau Pinang, Johor dan tidak ketinggalan Melaka," katanya.
Azmi berkata demikian selepas majlis pembukaan Dobi Layan Diri Usahwan SME oleh Exco Pertanian Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee di Taman Angkasa Nuri di Durian Tunggal di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, sehingga tahun lalu, sebanyak 116 syarikat usahawan kecil dan sederhana (PKS Bumiputera) dengan 165 aktiviti ataupun projek yang diluluskan di negeri ini dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM16.7juta.
"Selain itu sebanyak 18 syarikat di Melaka juga telah lulus penilaian jawatankuasa yang melibatkan kos permohonan sebanyak RM500,095 dengan geran RM250,046," katanya.