KUALA TERENGGANU - Harapan untuk melihat Terengganu sebagai sebuah negeri terbersih masih 'jauh' sekiranya mentaliti rakyat terhadap soal penjagaan kebersihan masih di takuk lama atau berada pada kelas ketiga.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, masalah berkaitan sikap masyarakat dan sensitiviti terhadap isu kebersihan adalah antara cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh kerajaan.
"Penyediaan peringatan seperti papan tanda amaran atau larangan membuang sampah di merata-rata tempat telah mencukupi. Punca kepada masalah yang terus berleluasa dan berterusan ini disebabkan soal sikap yang sukar diubah.
"Ini adalah salah satu cabaran bagi kerajaan dalam memastikan tahap kebersihan negeri ini sentiasa terjaga dan Terengganu dikenali sebagai negeri terbersih," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memupuk kesedaran dan pendidikan penjagaan kebersihan sejak dari kecil bagi melahirkan generasi baharu yang peka dan sensitif terhadap isu kebersihan.
"Kita kini memberi tumpuan ke arah pendidikan terhadap generasi baharu di samping memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya rakyat negeri Terengganu mengenai isu kebersihan.
"Pendidikan di peringkat kanak-kanak sedang berjalan bermula di pra sekolah. Kita mengharapkan semoga dengan usaha berterusan ini, mentaliti generasi akan datang akan berubah ke arah yang lebih baik dan melahirkan generasi minda kelas pertama," katanya.
Dalam pada itu, katanya, selain kempen, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menjalankan penguatkuasaan terhadap individu yang di dapati melakukan kesalahan itu.
"Buat masa ini kempen kebersihan sentiasa dilaksanakan dan penguat kuasa juga telah melaksanakan tugas pendidikan 'on the spot' seperti menyaman kepada mereka masih degil.
"Dengan usaha-usaha yang dilakukan ini, kita harap masyarakat kita dapat berubah," katanya.
Bermula 27 Mei lalu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan arahan larangan membuang sampah di tempat awam merujuk Perenggan 47(1) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133); atau Undang-Undang Kecil 13, Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT 1981 dengan mengenakan kompaun sebanyak RM50.
Sekiranya, pesalah enggan menjelaskan tawaran kompaun (RM50),mereka boleh di denda sehingga RM500 bagi kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133); atau RM250 bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, 1981.