Sungai Kim Kim keroh, cetek perkara biasa

Iklan
Aliran air sungai yang lancar selepas sampah sarap dihanyutkan hujan lebat di sungai berkenaan. Gambar kecil, Muhd Abdah Zahaluddin.

PASIR GUDANG - Sungai Kim Kim di sini yang sebelum ini mendapat perhatian umum susulan bencana pencemaran sisa bahan kimia pada Mac lalu, didakwa cetek, sempit dan kotor.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian ke lokasi hari ini, mendapati keadaan sungai itu tidaklah kritikal seperti yang didakwa malah pertemuan dengan beberapa penduduk di lokasi memaklumkan situasi tersebut bukan sesuatu yang luar biasa.

Iklan
Iklan

Penduduk, Zulkifly Kasssim, 50, berkata, keadaan Sungai Kim Kim ketika ini bukan perkara luar biasa kerana ia adalah situasi sebenar sama seperti sebelum berlakunya bencana pencemaran.

"Kalau nak kata kritikal tidak lah, sebab sepanjang saya diami kawasan ini sejak kira-kira 30 tahun, inilah keadaannya. Warna keruh itu biasa sebab tanah lumpur selain ia juga bersambung dengan beberapa saliran seperti dari taman perumahan.

Iklan

"Sebenarnya kalau kita tengok keadaan sekarang lebih lancar airnya sebab masa proses pembersihan dulu banyak sampah yang sudah dibawa keluar. Kalau sekarang ada sampah itu kebiasaannya selepas hujan, sampah sarap dihanyutkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Bukit Pulai di sini hari ini.

Zulkifly menunjukkan kesan cetek di Sungai Kim Kim dipercayai akibat proses pembangunan di kawasan perumahan berdekatan.

Zulkifly berkata, keadaan sungai yang didakwa semakin cetek dan sempit itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu susulan adanya pembangunan pesat di kawasan taman perumahan berdekatan.

Iklan

"Yang buat sungai ini jadi kohor atau sempit, saya rasa sebab air hujan bawa pasir dan sisa sampah dari taman perumahan berdekatan. Malah sejak pembangunan dan kegiatan industri pesat di sekitar, keadaan sungai ini jadi macam ini lah.

"Kita boleh tengok kawasan yang cetek ini semuanya nampak pasir naik. Kita nak buat aduan lebih pun tidak boleh, sebab ini semuanya berlaku kerana pemodenan kawasan ini," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Pasir Putih, Muhd Abdah Zahaluddin, 20, berkata, walaupun keadaan sungai itu yang dilihat keruh, ia masih tidak mengeluarkan bau atau menimbulkan situasi mencurigakan.

"Kalau nak kata kotor sangat, saya rasa keadaannya sama sahaja masa sebelum pencemaran kimia dulu. Sebab dah ada pengalaman jadi saya sensitif sikit, buat masa ini tidak lah ada bau-bau yang pelik.

"Buat masa ini saya rasa sungai ini masih dipantau lagi, sebab sebelum raya (Aidilfitri) dahulu ada lihat beberapa petugas periksa keadaan air, jadi tidak merisaukan sangat," katanya.