GEDANGSA - Lima keluarga generasi kedua dan ketiga peneroka Felda Gedangsa di sini menggayakan busana Melayu ketika meraikan Aildilfitri di tanah rancangan itu.
Mohd Herman Yadi Mohd Aini, 39, berkata, seramai 15 ahli keluarga memilih busana itu sebagai baju raya sejak tiga tahun lalu bagi meraikan hari kebesaran umat Islam dengan mengetengahkan identiti masyarakat Melayu di negara ini.
Menurutnya, setiap pasang pakaian bernilai hampir RM600 dan lebih bermakna apabila dijahit sendiri oleh ibunya.
"Kita patut berbangga memakai busana ini di hari raya kerana ia adalah pakaian tradisional yang menjadi lambang masyarakat Melayu walaupun pada zaman moden.
"Saya sendiri menjual pakaian ini di bazar Aidilfitri bagi memudakan orang ramai mendapatkan set busana lengkap dengan harga berpatutan.
"Ibu pula merupakan tukang jahit sejak kami kecil tetapi untuk pelanggan pakaian ditempah akan dijahit oleh tukang jahit lain yang lebih mahir," katanya kepada Sinar Harian kelmarin.
Mohd Herman berkata, pakaian tradisional itu turut menerima sentuhan moden tanpa menghilangkan identiti sebenar dengan beberapa aksesori utama.
Menurutnya, tanjak dan bengkung merupakan komponen penting bagi pakaian lelaki selain dilengkapi sampin serta keris.
"Pakaian wanita kebiasaannya menggunakan baju teluk belanga, baju kurung atau kebaya mengikut kesesuaian serta pilihan pemakai," katanya.