ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
Enggan kaki dipotong
DOKTOR, saya merupakan pesakit diabetes lebih 10 tahun lalu. Pada masa sama, saya berhadapan dengan masalah tulang ibu jari kaki dan disahkan akibat terkena jangkitan kuman (osteomyelitis). Akibatnya, kaki saya bengkak, hitam dengan ulser dan mengeluarkan nanah yang banyak. Kadang-kadang ia mengeluarkan bau. Pakar telah mencadangkan agar kaki saya dipotong. Masalahnya, saya tidak mahu kerana saya perlu bekerja demi keluarga. Adakah terdapat pendekatan lain untuk saya merawat masalah ini?
-Dalam Dilema, Miskan Saleh, 45, Ketereh, Kelantan.
JAWAPAN:
PERKARA pertama yang perlu dilakukan pesakit ialah menurunkan paras glukosa dalam darah terlebih dahulu. Saya juga menasihatkan mereka yang berdepan masalah serupa tampil di mana-mana hospital untuk mendapatkan konsultasi tentang pemakanan khusus untuk pesakit diabetes.
Lazimnya, antara perkara yang dilarang ialah mengambil gula, tepung gandum dan makanan proses yang lain secara berlebihan.
Mereka akan dinasihatkan untuk mengambil beberapa minyak sihat seperti minyak kelapa dara, minyak zaitun ekstra dara, minyak habbatus sauda dan minyak ikan omega 3.
Pesakit juga digalakkan minum segelas air dengan cuka epal yang ditambah stevia sebagai minuman harian untuk membantu proses pemulihan dan mengawal glukosa.
Selain itu, pesakit akan diberikan nasihat pemakanan seperti pengambilan protein yang tepat, buah-buahan, sayur-sayuran dan nisbah gizi makanan yang rendah karbohidrat dan tinggi lemak sihat.
Kajian kuman
Selain ujian kesihatan untuk melihat paras glukosa, fungsi hati dan buah pinggang, ujian kajian kuman serta sensitiviti perlu dibuat kepada nanah yang keluar daripada ulser tersebut.
Kuman khusus yang menjangkiti tulang dan ulser pesakit akan dikenal pasti. Mereka akan diberikan antibiotik yang bersesuaian berdasarkan laporan sensitiviti kuman tersebut.
Nanah akan dicuci dan dibersihkan. Bahagian tisu-tisu ulser yang mati juga akan dibuang. Cucian akan dibuat dengan kaedah campuran madu, gula aising dan habbatus sauda. Ia juga kemudian diletak pada bahagian kaki tersebut untuk mempercepatkan proses pemulihan. Habbatus sauda yang mengandungi thymoquinone dipercayai berupaya menentang kuman kebal.
Beberapa hari kemudian, pesakit akan mendapati bau daripada ulser mula hilang dan nanah semakin berkurang. Bukan itu sahaja, bengkak kaki juga semakin susut dan warna kemerahan akibat jangkitan kuman juga hilang. Ia menunjukkan rawatan tersebut mulai berkesan dan proses pemulihan sedang berlaku. Sebenarnya, cucian dilakukan secara harian dan pembersihan luka dibuat setiap hari. Setelah beberapa minggu, luka akan pulih beransur-ansur dan tiada lagi nanah yang keluar.
Lazimnya, pada peringkat itu, pesakit sudah boleh berpijak atas kakinya dan mula berjalan dengan lebih mudah. Namun, itu semua tidak akan menjadi tanpa mematuhi pola pemakanan yang betul.
SOALAN 2
Pesakit diabetes disaran elak terpijak benda tajam
DOKTOR, saya mengalami masalah kaki berdenyut-denyut dan hujung jari kaki terasa panas seperti terkena cili padi. Apakah penyebabnya? Apakah cadangan doktor untuk mengatasi masalah itu? Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai penyakit kencing manis dan mengambil insulin.
- Risau Diabetes Makin Teruk, Rohani Mohamad, 58, Cheras, Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
PUAN, sebenarnya masalah itu boleh berlaku disebabkan pengambilan gula yang melampau hingga mempengaruhi kandungan glukosa darah memuncak.
Kesannya, ia akan mengakibatkan keradangan kepada sistem badan termasuklah saraf kaki. Itulah punca rasa berdenyut yang dipanggil diabetic neuropathy.
Denyutan itu akan melarat dan mengakibatkan pesakit akan mengalami kebas pada tapak kaki selepas itu.
Jika itu berlaku, pesakit perlu berhati-hati. Jangan biarkan diri puan terpijak benda tajam dan perlu memeriksa kaki setiap hari. Jika terdapat sebarang luka, ia perlu dirawat segera.
Kenapa perlu elak sebarang luka? Ini disebabkan tidak mahu seseorang pesakit terkena jangkitan kuman atau masalah gangrene yang boleh membuatkan kaki mereka dipotong.
Kawal
Untuk berhadapan dengan masalah diabetes, pesakit perlu mengawal paras glukosa dan mengambil ubat yang disyorkan oleh doktor. Seperti biasa, pemakanan perlu dijaga.
Elakkan mengambil gula dan sebaiknya gantikan dengan stevia atau madu asli. Lebihkan sayur-sayuran dan berpada-pada mengambil buah-buahan. Paling signifikan, tolong kurangkan pengambilan makanan yang diproses atau makanan segera.
Selain itu, amalkan makanan berkarbohidrat yang sihat iaitu jenis berserat tinggi dan indeks glisemik yang rendah seperti beras perang, oat, roti, serat, ubi kayu, keledek dan sebagainya.
Pesakit turut disarankan mengambil lebih banyak lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa dara, santan, minyak kelapa sawit dan minyak ikan omega 3. Jangan lupa juga mengaktifkan diri dengan selalu bersenam.
Profil
Dr Norman Mohd Noraw merupakan doktor perubatan dengan pengalaman selama 21 tahun. Beliau mempunyai bidang pengkhususan dalam perubatan estetik dan antipenuaan serta perubatan regeneratif. Dr Norman juga ialah pengasas dan pemilik Klinik Dr Norman yang mempunyai cawangan di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.