LORENZO Insigne dan Marco Verratti menjadi wira Itali untuk membantu pasukan itu bangkit menumpaskan Bosnia Herzegovina 2-1 dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Turin awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan Gli Azzurri berada di kedudukan teratas kumpulan J dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan.
Bagi pengendali Itali, Roberto Mancini, menyifatkan anak buahnya berjaya mengharungi perlawanan yang disifatkannya antara yang sukar dalam kumpulan J sekali gus mengutip tiga mata berharga.
"Bosnia secara teknikalnya memiliki pemain yang bermutu. Dalam separuh masa pertama kami bermain dengan agak berhati-hati tetapi selepas itu kami mula menyerang pada babak kedua untuk mencari gol.
"Bukan mudah untuk menewaskan pasukan seperti Bosnia tetapi kami bangkit dominan di separuh masa kedua untuk mencatatkan kemenangan. Jadi saya gembira dengan persembahan pemain," katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang AS Roma Edin Dzeko meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-32 sebelum disamakan Lorenzi Insigne empat minit selepas separuh masa kedua bermula.
Marco Verratti memastikan kemenangan Itali dengan gol pada penghujung perlawanan selepas menolak masuk umpan Insigne.
"Miralem Pjanic dan Dzeko bermain baik buat Bosnia, tetapi kami menampilkan karakter lebih baik dan keupayaan untuk menjaringkan gol dalam apa jua situasi," katanya.