Tak sempat brek langgar kanak-kanak lima tahun

Iklan
Nor Danish Afiq menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani mengalami kecederaan parah di kepala. - Foto Facebook

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun meninggal dunia semalam di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selepas cedera parah di kepala akibat dilanggar sebuah kereta semasa cuba melintasi jalan mini tar di Baling pada 10 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, Nor Danish Afiq Nor Azril melintasi jalan tersebut bersama seorang lagi kanak-kanak bagaimanapun hanya dia sahaja yang dilanggar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku kira-kira pada jam 6.30 petang pada hari kejadian berdekatan rumah mangsa.

"Dalam kejadian tersebut, semasa kereta jenis Proton Saga melalui jalan tersebut, tiba-tiba dua kanak-kanak itu melintasi jalan untuk ke kedai serbaneka 24 jam di seberang jalan.

Iklan

"Pemandu tidak sempat menekan brek dan seorang telah dilanggar manakala seorang lagi sempat menyelamatkan diri.

"Walaupun bukan kecuaian pemilik kereta tersebut, polis tetap menahan pemandu lelaki yang berusia 31 tahun itu yang dari arah Sungai Petani menuju ke Baling.

Iklan

"Kenyataannya juga telah diambil dan hasil pemeriksaan urin juga didapati negatif," katanya yang ditemui media.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kereta turut ditahan untuk tujuan siasatan dan pemeriksaan.

"Saya minta ibu bapa atau waris sentiasa mengawasi anak-anak apabila melintas jalan walaupun di mini tar kerana semua itu atas tanggungjawab mereka.

"Selain penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, peranan ibu bapa juga adalah sangat penting selain peranan masyarakat dan pemimpin setempat," katanya.