KUANTAN - Sebanyak 90kg sampah dikumpulkan Perbadanan Pengurusan sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) Pahang selepas dikutip di sepanjang JalanPadang Tengku - Merapoh.
Kesemua sampah yang kebanyakannya plastik makanan ringan dan kotak minuman itu dikumpulkan dengan kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) dan polis dalam satu program pembersihan kelmarin.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, program berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pengguna.
"Laluan ini bukan sahaja dijadikan lokasi buang sampah bahkan pengguna jalan raya turut berhenti rehat walaupun ia bukan tempat berhenti.
"Bagi mengekang masalah ini daripada berterusan, MDL dengan kerjasama SWCorp dan polis jalankan program pembersihan. Kami mengumpulkan sehingga 90kg sampah, kebanyakannya plastik jajan dan kotak minuman," katanya.
Menurutnya, pemantauan berterusan di laluan Padang Tengku - Merapoh akan ditingkatkan terutama menjelang Aidiladha dan cuti sekolah akan datang bagi elakkan pengguna jalan raya kurang kesedaran sivik terus membuang sampah merata-rata.
"Sebelum puasa kita dah buat sekali dan hari raya (kelmarin) kita jalankan sekali lagi. Lokasi ni memang dah jadi trend kalangan pengguna jalan raya untuk berhenti, lepak, rehat dan makan.
"Mereka tinggalkan sisa makanan, polistirena dan plastik. Ia juga bukan skop kerja kakitangan SWCorp namun kita ambil inisiatif itu untuk membersihkannya. Jika tidak ia menyakitkan pandangan mata," katanya.
Sharudin berkata, kejadian bermusim itu tidak menimbulkan kesedaran dan keinsafan kalangan orang ramai malah tindakan tidak berhemah itu mencacatkan pemandangan bahu jalan dan mengundang bahaya kepada pengguna sendiri.
"Padahal ini bukan lokasi berhenti dan kawasannya juga tidak selamat kerana betul-betul di tepi jalan yang sibuk. Kita akan berbincang dengan beberapa pihak untuk wujudkan papan tanda amaran supaya pengguna jalan raya tidak lagi berhenti di sini.
"Kita akan kerjasama dengan pihak majlis dan PDRM untuk buat pemantauan dari semasa ke semasa termasuk pada Aidiladha nanti. Menjelang perayaan dan cuti sekolah, mungkin akan tempatkan anggota," katanya.