Buat laporan polis palsu diragut

Iklan
Ganti ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini berhubung kes laporan polis palsu.

MACHANG - Gara-gara membuat laporan polis palsu, seorang penjawat awam didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, tertuduh berusia 32 tahun membuat laporan polis pada Ahad lalu bahawa dia telah diragut oleh empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal di simpang jalan Kampung Hutan Rebana pada jam 12.15 tengahari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, akibat kejadian tersebut, tertuduh mendakwa sebuah beg sandang miliknya yang mengandungi dua utas rantai emas milik ibu mertuanya dan wang tunai sebanyak RM400 telah dilarikan.

"Sebelum kejadian, tertuduh mendakwa telah menebus barang kemas ibu mertuanya di sebuah kedai pajak gadai di sini namun hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak kami, kali terakhir tertuduh ke kedai tersebut adalah dua tahun lalu.

Iklan

"Kejadian ragut tersebut sengaja direka oleh tertuduh kerana barang emas ibu mertuanya telah dileburkan apabila sudah melebihi masa gadaian.

"Barang kemas tersebut digadai bagi membantu tertuduh menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Firdaus Mohamad.

Tegas Ganti, pihaknya memandang serius kes tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu ini.

Katanya, tindakan itu diambil kerana pelaku terbabit secara tidak bertanggungjawab membazirkan masa dan tenaga pegawai penyiasat selain membazirkan wang kerajaan untuk menyiasat kes yang tidak wujud.

"Selain masalah kewangan, laporan polis palsu ini juga sering dilakukan oleh sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mendapatkan salinan laporan polis bagi urusan menggantikan kad pengenalan yang hilang dan mengelak dikenakan denda.

"Kebanyakan mereka mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, namun selepas dibuat siasatan rupanya kad pengenalan mereka hilang. Tindakan mereka ini memang menyusahkan pihak polis," katanya.