ALOR SETAR - Bilangan kematian akibat kemalangan di Kedah sepanjang Ops Selamat Aidilfitri 2019 menurun kira-kira 40 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supritendan Chuah Seong Lim, ops yang bermula 29 Mei sehingga 11 Jun mencatatkan 18 kematian berbanding 30 kematian pada 2018.
Bagaimanapun, katanya motosikal masih lagi menjadi penyumbang kepada kes tertinggi kemalangan maut dan 11 kes daripada keseluruhannya melibatkan faktor kecuaian manusia seperti terbabas dan langgar belakang.
"Namun dari sudut jumlah keseluruhan kemalangan umum meningkat sebanyak 21 kes ataupun 2 peratus iaitu 1,249 berbanding 1,228 pada tahun 2018.
"18 kematian pula pada tahun ini berlaku di enam daerah sahaja iaitu Kuala Muda dengan empat kematian, Kulim (empat), Kota Setar (dua), Kubang Pasu (empat), Baling (tiga) dan Pendang (satu) berbanding tahun 2018 yang melibatkan hampir semua daerah di Kedah," katanya kepada sidang media selepas Ops Selamat di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, dekat sini hari ini.
Chuah berkata, beliau turut mengakui bilangan kenderaan yang memasuki Kedah lebih banyak tahun ini berbanding pada tahun lalu semasa Ops Lancar yang diadakan tiga hari sebelum dan tiga hari selepas sambutan hari raya.
"Usaha yang ditunjukkan oleh semua anggota saya harus dipuji kerana memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan semua ops yang diadakan ini berjalan lancar.
"Ops yang diadakan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya bahawa polis akan terus mengadakan operasi di tempat-tempat tertentu bagi memastikan mereka sentiasa bersiap sedia dengan lesen dan cukai jalan yang lengkap," katanya.
Dalam pada itu, Chuah berkata dalam operasi itu polis turut menahan sebuah lori dan mengeluarkan dua saman atas kesalahan tayar botak dan pemandu tidak memakai pakaian yang sesuai untuk memandu kenderaan tersebut.
"Kami terpaksa mengeluarkan saman tersebut sebagai ingatan kerana kesalahan itu bukan sahaja boleh membahayakan pemandu lori tetapi juga kepada pengguna jalan yang lain," katanya.