KUALA LUMPUR - Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri yang mengaku sebagai individu bersama seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) di dalam video intim yang tersebar, boleh didakwa di mahkamah sekiranya ada laporan polis dibuat.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, laporan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan sebelum prosiding pendakwaan dijalankan.
"Iya perlu ada laporan," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengakuan individu tersebut.
Menurutnya, seks luar tabii merupakan satu kesalahan yang termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh didakwa di dua mahkamah.
"Sekiranya dituduh di mahkamah syariah, maka individu tersebut tidak lagi boleh didakwa di mahkamah sivil," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Awal pagi ini, Setiausaha Sulit itu melalui akaun Facebooknya membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau adalah individu bersama pemimpin dalam video berkenaan.
Tiga video panas tersebut masing-masing berdurasi 1 minit 35 saat dan sebuah rakaman audio berdurasi 5 minit 24 saat tersebar sejak semalam.