JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan dipercayai berusia tiga hari dan masih bertali pusat ditemui orang awam di tepi Jalan Berhampiran Flat Sri Anugerah, Larkin, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, bayi itu ditemui seorang wanita berusia 53 tahun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi.
"Berdasarkan keterangan wanita itu, dia menemui bayi berkenaan selepas mendengar tangisannya ketika sedang melalui jalan berkenaan.
"Dia kemudiannya berpatah semula ke tempat kejadian dan ternampak sebuah beg berwarna putih di tepi jalan tersebut. Dia juga meminta bantuan seorang lelaki yang berada di tempat kejadian untuk memeriksanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahurinain berkata, lelaki berusia 36 tahun itu terus membuka beg tersebut dan mendapati seorang bayi yang sedang menangis.
"Lelaki itu kemudiannya telah membawa bayi itu ke tempat kerjanya di kawasan berhampiran dan telah membersihkan serta memberinya susu bersama wanita yang menjumpainya.
"Susulan itu dia telah menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, bayi tersebut kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan susulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.