KEHADIRAN Triumph Bonneville Bobber disifatkan satu langkah terbaik firma dari Hinckley, Leicestershire, England. Penambahan terkini dalam rangkaian motosikal Bonneville itu menggunakan platform enjin sedia ada untuk menghasilkan sebuah motosikal bobber yang dilihat begitu bergaya sekali.
Pada hemat penulis, ia umpama sebuah karya agung yang berfungsi sempurna selaras dengan casis dan alat elektronik baharu yang dipadankan dengan pelbagai komponen premium. Pada edisi Tunggang Uji pada kali ini, Sinar Turbo akan berkongsi dengan pembaca pengalaman menunggang uji jentera dua roda Bonneville Bobber. Penulis menunggangnya melewati sekitar lembah Klang.
Ciri moden, stailo
Terdahulu, penulis berpendapat, Bonneville Bobber terasa seakan ringan dan amat mudah dikawal sehingga membuatkan tunggangan lebih berkualiti dan menyeronokkan. Bobber ialah inspirasi daripada Bob Job iaitu satu konsep pengubahsuaian motosikal pada era 1940-an yang mana pada dasarnya ‘membogelkan’ motosikal bagi mengurangkan berat tanpa menyentuh kerangka dan geometri asal motosikal berkenaan.
Triumph berjaya menghasilkan kombinasi motosikal ‘reka bentuk selepas perang’ dengan prestasi terkini. Model itu dilengkapi komponen elektronik berteknologi tinggi yang disembunyikan rapi daripada pandangan luar. Secara keseluruhan, terdapat lebih 150 aksesori untuk Bobber. Ia merangkumi tempat duduk, bar hendal, klip untuk fender, naik taraf suspensi monoshock, ciri kawalan jelajah dan banyak lagi.
Selain lampu utama jenis LED, Bobber dilengkapi pelbagai sistem elektronik untuk keselamatan penunggang. Ia termasuklah pendikit ride-by-wire, kawalan cengkaman, mode tunggangan Road and Rain, sistem brek ABS serta sistem pelumpuh enjin yang disepadukan dengan kunci. Sementara, pemegang yang boleh dipanaskan dan kawalan jelajah ditawarkan sebagai pilihan.
Walaupun bahagian belakang Bobber kelihatan seperti hard-stail, swingarm belakang itu sebenarnya terdiri daripada satu unit monoshock. Dipasang pada bahagian bawah tempat duduk menggunakan sambungan shock, rekaan itu ternyata kemas sekali. Pendek kata, Bonneville Bobber memang mempesonakan dan stailo dari setiap sudut pandang. Letak atau tunggang ia di mana sahaja, pasti ramai mata yang terpukau dengannya. Lebih lama anda menatapnya, makin kuat keinginan untuk memiliki jentera hebat itu.
Prestasi enjin
Bobber menggunakan khidmat enjin dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,200cc yang turut dipasang pada Bonneville T120. Cuma pada enjin Single Overhead Cam Parallel Twin itu telah ditala untuk menawarkan lebih kuasa kuda dan low-end torque. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Jentera itu memberikan impak fungsi ketika memecut di laluan lurus mahupun selekoh yang memberikan keyakinan ketara kepada penunggang. Bunyi ekzos yang padu dan agak garang setiap kali berhenti di lampu isyarat dan meredah kesesakan lalu lintas memastikan pengguna jalan raya yang lain memberikan tumpuan kepada Bonneville Bobber setiap kali kelibatnya muncul di jalan raya.
Sebagai pengeluar motosikal berpengalaman, Triumph tidak mengorbankan aspek kegunaan, keselesaan dan kualiti tunggangan semata-mata untuk tampil bergaya. Berbanding pesaingnya seperti Harley-Davidson Forty-Eight, Bobber dilihat lebih praktikal.
Posisi tunggangan selesa
Biarpun nampak lebih konvensional, jentera itu menawarkan posisi tunggangan yang selesa. Kedudukan bar hendal, perehat kaki dan tempat duduk yang boleh diubah, jelas ergonomik untuk penunggang yang hadir dalam pelbagai saiz. Sebagai contoh, dengan hanya melonggarkan dua skru, tempat duduk aluminium itu boleh digerakkan ke hadapan atau ke belakang kira-kira 8 sentimeter. Ia sekali gus menukar posisi relaks sebuah cruiser menjadi posisi roadster yang lebih agresif. Sistem klac bantuan-tork membuatkan tarikan klac yang amat lembut dan mudah ketika menukar gear. Semuanya menjadikan tunggangan di kawasan bandar dan juga jarak jauh yang amat selesa dan mudah.
Lebih mengujakan, ia terasa amat ringan dan mudah dikawal, seumpama menunggang motosikal moped. Walaupun demikian, Bobber amat stabil ketika mengambil selekoh, justeru memberi keyakinan kepada penunggangnya. Bobber memiliki dua karakter, walaupun ia amat lancar dan selesa ditunggang pada kelajuan 100-120 kilometer perjam (km/j), namun ia boleh bertukar menjadi agresif seperti ‘hooligan’ ketika rpm naik melebihi 3,000. Penulis memecut sehingga 180 km/j, namun terasa pendikitnya masih berbaki.
Penunggang juga boleh mendapatkan maklumat penting tunggangan daripada satu unit paparan tunggal berbentuk bulat. Ia menampilkan speedo analog dan paparan LCD yang memberi maklumat seperti odometer, revs, posisi gear, baki minyak, takat minyak, penggunaan minyak, jam dan talaan kawalan cengkaman.
Sementara tangki isian petrolnya pula mempunyai kapasiti sekitar 11.5 liter, jadi anda tidak perlu kerap berhenti di stesen minyak dan juga sangat sesuai untuk diguna pakai semasa perjalanan jarak jauh. Kesimpulannya, Bonneville Bobber menawarkan pakej motosikal dengan keunikan reka bentuk vintaj berserta prestasi terkini yang mana amat sukar dilepaskan.
Bonneville merupakan motosikal yang menarik perhatian sesiapa sahaja. Ia sangat sesuai untuk mereka yang menggemari sentuhan gaya klasik bobber. Di Malaysia, aspek pemasaran dan selepas jualan motosikal Triumph dikendalikan oleh pihak Fast Bikes yang beribu pejabat di Petaling Jaya atau anda boleh layari www.triumphmotorcycles.my.
Pelanggan boleh memilih beberapa warna menarik seperti merah (Morello Red), hitam (Jet Black) dan Ironstone. Di samping warna dua tona seperti hijau (Competition Green) dan perak (Frozen Silver), lengkap bersama garis yang dilukis menggunakan tangan.
Spesifikasi Bonneville Bobber
Enjin: 1,200cc, 8v, penyejukan cecair, piston berkembar selari
Kuasa maksimum: 76 bhp
Tork maksimum: 78 ft-lb
Kelajuan maksimum: 195 km/j
Kapasiti tangki: 9.1 liter
Jarak tangki penuh: 220 km
Berat: 228 kg
Suspensi hadapan: 41mm, fork KYB
Suspensi belakang: Monoshock KYB
Brek hadapan: disk 310 mm, kaliper 2-piston Nissin
Brek belakang: disk tunggal 255 mm; kaliper piston-tunggal Nissin
Harga: RM71,900